TAYANGAN drama di saluran Astro kini tampil dengan sokongan trek penerangan audio, bagi menyantuni golongan kurang upaya penglihatan.
Drama Dari Mata Turun Ke Hati menjadi naskhah pertama yang menyediakan khidmat sokongan trek penerangan audio.
Fungsi utama khidmat ini adalah untuk memastikan drama Astro lebih mudah untuk diakses oleh golongan kurang upaya penglihatan dalam mendalami setiap penceritaan yang disampaikan.
Kejayaan drama itu turut mendapat sambutan dari Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan disokong Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Baru-baru ini Astro mengadakan satu program tanggungjawab sosial korporat, dengan mengadakan sesi tontonan istimewa episod 1 drama Dari Mata Turun Ke Hati kepada warga MAB.
Sesi tayangan itu turut menyaksikan kehadiran dan sokongan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri.
"Saya amat berbesar hati dapat bersama dalam program ini yang mencerminkan komitmen Astro dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysiadalam memperkasa komuniti kurang upaya penglihatan di negara kita.
"Pelancaran trek penerangan audio digital khas untuk drama Melayu tempatan merupakan satu langkah yang sangat signifikan dalam memastikan akses yang lebih inklusif kepada kandungan hiburan.
"Ini bukan sahaja membantu memperbaiki kualiti hidup golongan kurang upaya penglihatan, malah memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap cabaran yang mereka hadapi.
"Saya berharap usaha ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyumbang ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin," katanya.
Turut sama pada tontotan istimewa ini ialah barisan pelakon drama tersebut iaitu Arabella, Azri Safix, Afiq Amidon, Darien dan Qistina Khaled.
Pada acara tersebut, para hadirin juga dapat melihat dan merasai pengalaman menonton drama yang disertai dengan trek penerangan audio.
| FOTO: Astro |
Ketua ESG Astro, Puan Foo Su Lynn, berkata, pihaknya mempunyai capaian luas melalui penciptaan karya-karya yang menjadi topik perbualan orang ramai, selain menyumbang kesedaran positif berkenaan tanggungjawab sosial.
"Lebih dari 2,000 jam kandungan berkaitan ESG sudah dilaksana pada tahun lepas dan kami beriltizam akan melabur dengan lebih banyak pada tahun ini.
"Penyediaan khidmat trek penerangan audio ini juga selaras dengan hasrat ESG dalam menyantuni golongan kurang upaya penglihatan,” ujarnya.
Pada hari yang sama, para tetamu dibawa melawat bagi merasai sendiri fasiliti yang terdapat di kompleks MAB. Mereka turut diberi penerangan berkenaan kebolehgunaan fasiliti di kompleks tersebut dan diberi peluang mencuba peralatan yang disediakan.
Bermula 26 September lalu, drama dengan trek penerangan audio dilancarkan di sooka untuk tontonan dan bakal menjadi platform hiburan baru kepada lebih dari 600,000 pengguna kurang upaya penglihatan.
Antara inisiatif lain yang akan dilaksana Astro bagi menyantuni golongan kurang upaya penglihatan termasuklah, Kisah Di Sebalik Bola - Suara Kemenangan, MyFutureJob Visually Impaired Person Career Day 2024 oleh MAB, dan juga sambutan Hari Orang Buta oleh MeleTOP. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments