Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Cipta Sejarah, Fedtri Yahya terima lima pencalonan pada Anugerah Seri Angkasa 2024

Ahmad Fedtri Yahya | FOTO: TV3

PENGACARA popular Ahmad Fedtri Yahya mencipta sejarah dalam dunia penyiaran apabila menerima lima pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024 yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Fedtri tercalon dalam kategori Bicarawara TV Terbaik melalui Aduan Jiwa (Gelap Duniaku), Montaj TV Terbaik (Aduan Jiwa), Pengacara TV Terbaik (Dua pencalonan - Jejak Rasul 2023 dan Aduan Jiwa), dan Pengulas TV Terbaik (Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria).

Fedtri yang juga aktif sebagai penulis lirik itu mengakui tidak menyangka tercalon dalam empat kategori secara serentak pada tahun ini.

"Semestinya saya sangat teruja dan berdebar kerana ini juga merupakan pencalonan yang terbanyak buat saya.

"Sewaktu mendapat tahu tercalon dalam keempat-empat kategori ini, sejujurnya malam itu saya demam akibat terkejut. Saya kira ini adalah demam kegembiraan.

"Jadi harapan saya hanyalah untuk tersenarai dalam top lima sahaja dan itu pastinya sudah memadai," ujarnya dengan penuh rasa syukur.

Dalam masa sama, selebriti berusia 43 tahun itu menyifatkan pencalonan tersebut sebagai motivasi untuk terus memperbaiki mutu karyanya.

"Saya bercita-cita untuk kekal berkarya sepanjang hayat dan berhasrat untuk melakukannya dengan cara pendekatan yang lebih matang pada masa akan datang. Selagi belum putus nafas, cinta bahasa akan terus bergema," tegasnya.

Wujudkan podcast

Selain itu, salah satu impian Fedtri adalah untuk memiliki podcastnya sendiri, yang mana akan memberikan peluang kepada dirinya mengekspresikan idea dan kreativiti dengan lebih bebas, seiring dengan kehendak semasa.

Menurut Fedtri, antara tokoh hebat yang memberikan inspirasi kepadanya dalam memperjuangkan bahasa Melayu adalah Usman Awang.

Katanya, penyair terkenal itu merupakan seorang sasterawan negara yang banyak mempengaruhi pemikirannya melalui karya-karya yang mendalam.

Selain itu, dia juga memetik seorang lagi tokoh hebat iaitu Jalaluddin Rumi yang cukup dikenali dengan kebijaksanaan dan keindahan bahasa dalam puisi-puisinya.

Kedua-dua tokoh tersebut memberikan inspirasi yang sangat kuat dalam kecintaannya terhadap bahasa dan juga sastera.

"Sebenarnya tiada dorongan yang spesifik kerana saya memang ikhlas dalam berbahasa. Namun jikalau ditanya, saya memilih kedua-dua tokoh ini sebagai penanda aras bagi saya ketika berbahasa.

"Harapan saya juga pada masa akan datang adalah agar bahasa Melayu ini sentiasa digunapakai dengan betul dan sentiasa disanjung tinggi di kalangan seluruh orang Melayu kita," tegasnya.

Berkongsi cabaran sepanjang perjalanan kerjayanya, anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu mengakui pernah berdepan pelbagai cabaran, termasuk kehilangan suara selama sebulan semasa mengacarakan Jejak Rasul pada 2022.

“Waktu itu, saya takut sebenarnya sebab kehilangan suara campur pula dengan cuaca yang panas. Namun, saya bersyukur kerana penat dan lelah saya waktu itu ditukarkan dengan kegembiraan apabila rating bagi program Jejak Rasul melonjak naik kerana waktu itu PKP.

"Sehinggakan saya pergi ke bazaar Ramadan pun ada anak-anak kecil menegur dan memberikan kata-kata semangat terhadap saya. Kenangan itu akan saya simpan selamanya," katanya.

Tambahnya lagi, ketika penggambaran program tersebut di Syria turut meninggalkan kesan mendalam apabila dia menyaksikan sebuah sekolah dibakar di hadapan matanya sendiri.

"Walaupun berdepan cabaran berat, saya berpegang kepada sokongan rakan sekerja dan fokus pada mesej yang ingin disampaikan, menjadikannya lebih positif dalam mendepani cabaran," jelas pengacara Jejak Rasul itu lagi.

Obses bahasa

Terdahulu Fedtri baru-baru ini menerima Anugerah Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak.

Fedtri ketika menerima Anugerah Ikon Bahasa | FOTO: TV3

Anugerah tersebut mengiktiraf dedikasinya dalam memperkasa bahasa dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menjulang warisan bahasa sebagai jati diri bangsa.

Menurut Fedtri, pengiktirafan tersebut adalah kemuncak daripada kecintaannya yang mendalam terhadap dunia bahasa, yang sudah bermula sejak kecil.

“Saya memang seorang yang 'gila' bahasa. Sejak kecil lagi saya dah minat dengan bahasa walaupun waktu itu saya tidak begitu faham dengan bahasa sangat tetapi dek kerana obses dengan bahasa.

"Setiap kali saya mendengar radio atau menonton television, saya akan salin beberapa perkataan yang saya rasa unik dan cuba untuk mencari maksud di sebalik perkataan tersebut.

"Jadi lama-kelamaan apabila menyertai beberapa pertandingan dan mendapat markah yang cemerlang dalam bahasa Melayu, di situ bermulanya titik indah percintaan saya dalam bahasa," kongsinya.

Dalam pada itu, Fedtri turut menyeru generasi muda untuk lebih menghargai dan memartabatkan bahasa Melayu.

“Saya akan terus turun padang dan memberi sokongan. Setiap kali saya memberi ceramah atau berkunjung ke sekolah, saya sentiasa mendorong mereka untuk mencintai bahasa, sama seperti saya.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan TV3 dan Media Prima yang tidak pernah jemu memberi sokongan dalam usaha murni memartabatkan bahasa dalam era teknologi penuh mencabar," akhiri Fedtri. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


TONTON VIDEO PILIHAN

Post a Comment

0 Comments