BEKAS ahli kumpulan One Direction, Liam Payne dilaporkan meninggal dunia di sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina, pada Rabu.
Payne atau nama sebenarnya, Liam James Payne, 31, ditemui maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat tiga sebuah hotel berkenaan.
Pihak berkuasa dalam satu kenyataan berkata, polis dipanggil ke lokasi kejadian selepas mendapat aduan tentang seorang lelaki dalam keadaan agresif dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan SAME, Alberto Crescenti memaklumkan kepada sebuah stesen televisyen (TV) tempatan, Payne mengalami kecederaan serius dengan tiada kemungkinan prosedur kecemasan dapat dilakukan terhadapnya.
Tambahnya lagi, petugas kecemasan bergegas ke lokasi kejadian di Palermo, sebaik mendapat panggilan telefon pada jam 5.04 petang, waktu tempatan.
Penyanyi asal England itu dilapor mengalami keretakan pada bahagian tengkorak akibat terjatuh dari tingkat tiga hotel berkenaan, pada ketinggian yang dianggar antara 13 meter hingga 14 meter.
Difahamkan mendiang Payne berada di Buenos Aires sejak 2 Oktober lalu bersama kekasihnya, Kate Cassidy untuk bercuti dan menghadiri konsert rakan baiknya, Niall Horan.
Payne ketika masih bersama One Direction |
Ketika hayatnya, Payne meraih kemasyhuran global sebagai sebahagian daripada kumpulan pop One Direction bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson yang ditubuhkan pada 2010.
Antara lagu popular kumpulan pop popular itu termasuk What Makes You Beautiful, Gotta Be You dan One Thing.
Pada 2016, One Direction mengumumkan pembubaran disebabkan masing-masing mahu meneruskan karier secara individu.
Pada tahun sama, Payne yang mula dikenali selepas menyertai program reality TV, The X Factor pada 2008 itu tampil dengan album solo, mengikuti jejak anggota band lain.
Mendiang meninggalkan seorang anak lelaki, Bear Grey, 7, hasil hubungan bersama bekas kekasihnya, Cheryl Cole yang juga anggota Girls Aloud. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments