Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Alkisah Jiwa satukan Amsyar Lee, Fadhilah Intan


MENYEBUT nama Amsyar Lee, pastinya ramai yang mengenali penyanyi kerana keunikan pelbagai karakter suara yang sering dilagukan olehnya.

Mengembangkan lagi kerjaya nyanyiannya, Amsyar kini hadir dengan buah tangan terbaru untuk peminat iaitu single berjudul Alkisah Jiwa yang baru sahaja dilancarkan pada 11 Oktober lalu.

Tidak keseorangan, karya kali ini begitu istimewa apabila bintang berusia 25 tahun itu tampil bergandingan dengan Fadhilah Intan yang juga merupakan penyanyi popular Indonesia yang dikenali dengan lagu Dawai.

Alkisah Jiwa bukan sekadar sebuah lagu balada tetapi merupakan paduan antara dua jiwa yang pastinya membuatkan pendengar terbuai dan terhanyut dalam emosi.

Menurut Amsyar atau nama sebenarnya Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, kolaborasi bersama Fadhilah begitu istimewa kerana kelebihan penyanyi itu yang hebat menyesuaikan emosi dengan patah-patah lirik yang terkandung lagu ersebut.

“Saya melihat dia sebagai antara penyanyi berbakat besar dan mampu memberikan emosi kepada setiap lagu yang dibawakan. Fadhilah bukan sahaja mempunyai suara yang baik tetapi ada banyak lagi kelebihan yang ada padanya.

“Dia mampu memberikan ‘nyawa’ kepada Alkisah Jiwa dan seterusnya menghidupkan lagu ini dengan baik sehingga memikat hati pendengar,” ujarnya.

Single Alkisah Jiwa merupakan projek kerjasama antara Warner Music Malaysia dan Resonate Music Indonesia.


Tambah Amsyar lagi, lagu hasil ciptaan Hendro Djasmoro dan Albert Juwono, dengan lirik hasil tulisan Hendro Djasmoro itu begitu istimewa kerana kisah yang dibawakan dekat dengan hatinya.

"Saya sudah jatuh cinta dengan melodi lagu ini saat kali pertama diperdengarkan. Ia digarap dengan penuh makna dan perlu disampaikan dengan sepenuh jiwa.

“Alkisah Jiwa sebenarnya berkisah tentang perjalanan hati dan perasaan. Tidak mudah sebenarnya untuk menempuh liku-liku hidup memandangkan banyak halangan yang perlu dilalui.

“Namun dalam setiap langkah, akan ada cinta dan harapan yang menanti. Apa yang paling penting setiap insan perlu ada kekuatan jiwa untuk terus kuat. Percayalah ada keindahan yang akan menanti di hadapan,” jelasnya.

Rakam lagu, MV di Jakarta

Mengulas lebih lanjut tentang kolaborasi bersama Fadillah, Amasyar akui begitu teruja melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Fadhilah ketika proses rakaman.

Baginya, penyanyi bervokal menarik itu mudah didekati dan tidak lokek berkongsi pengalaman saat proses rakaman berlangsung di Jakarta, Indonesia beberapa bulan lalu.

"Walaupun ini merupakan kerjasama pertama kami, Fadhilah banyak memberikan maklum balas saat beberapa cabaran kecil dihadapi ketika rakaman berlangsung terutama untuk menyatukan harmoni dan melaraskan suara.

"Segala-galanya dapat diatasi dengan baik memandangkan kami berdua sudah berpengalaman dan mengharapkan maklum balas positif daripada peminat dari Malaysia mahupun Indonesia," katanya.


Tidak hanya rakaman lagu, tetapi pembikinan muzik video (MV) juga dilakukan di Jakarta bagi memberikan kesegaran dan kelainan kepada karya terbaharu Amsyar ini.

“Ini merupakan pengalaman baharu saya dapat bekerjasama dengan produksi di sana. Pihak produksi begitu teliti mencipta momen bagi memastikan mood setiap babak kena dengan lirik yang disampaikan.

“Hasilnya begitu indah dan saya mengharapkan maklum balas positif daripada peminat,” akhirinya.

Single Alkisah Jiwa dilancarkan secara rasmi pada 11 Oktober lalu di kesemua pelantar digital. Sementara MV pula boleh ditonton melalui YouTube Fadhilah Intan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments