Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Wanita hebat, Rita Rudaini terima Anugerah Ibu Ikon


PELAKON Rita Rudaini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Ikon, Anugerah Wanita Ikon 2024/2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Ahad.

Berita gembia itu dikongsi pemilik nama penuh Rita Rudaini Mokhtar, 48, di laman Instagramnya dan berharap agar ia turut menjadi inspirasi kepada para ibu dan wanita lain di luar sana.

“Terima kasih Ikon Malaysia untuk Anugerah Ibu Ikon 2024/2025 sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.

"Saya akan terus memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana. Kita semua wanita kuat. Kita semua adalah ikon," ujarnya yang turut berkongsi video menerima anugerah pada majlis berkenaan.

Acara penyerahan anugerah yang diperkenalkan bagi memartabatkan wanita dalam pencapaian mereka merangkumi kerjaya, keluarga dan masyarakat itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Turut mencemar duli ke majlis berkenaan adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Rita yang juga ibu tunggal kepada dua anak itu mengakui tidak mudah mengharungi kehidupan yang serba mencabar, tetapi dalam masa sama dia sentiasa yakin ada kemanisan yang menanti di kemudian hari. 

"Tidak mudah. Walaupun ada antara kita berlainan latar belakang, tapi ujian dan rasa tetap sama.

"Percayalah, di setiap semua itu bukanlah kesusahan, tapi itulah ujian untuk yang terpilih. Percayalah di sebalik ujian itu ada hadiah manis yang ALLAH berikan iaitu anak.

"Jagalah, sayangilah dan didiklah mereka kerana ALLAH," ungkapnya lagi.

Hebat di mata anak-anak

Dalam pada itu, pelakon drama Kerasnya Takdir itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan dan memberikan kata-kata semangat buatnya dan keluarga.

"Terima kasih atas komen-komen yang mendoakan saya. Anugerah yang sangat besar untuk saya terima. Semua ini rezeki yang dah tertulis. Saya terima dengan rendah hati.

"Saya mempunyai banyak kekurangan, cuma ingin jadi wanita paling hebat di mata anak-anak. Kita semua berjaya dengan izin yang Maha Esa," akhirinya.
Rita sentiasa berikan yang terbaik buat anak-anak | FOTO: Instagram Rita Rudaini

Terdahulu, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan pada 2008 sebelum bercerai pada September 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments