Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tiada lafaz talak, sebutan kes permohonan cerai Fazura-Fattah ditangguh


SEBUTAN kes permohonan cerai pelakon Nur Fazura Sharifuddin terhadap suaminya, Fattah Amin yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Rabu ditangguhkan ke tarikh baharu, 7 Oktober depan.

Peguam syarie mewakili Nur Fazura, 41, Fakhrul Azman Abu Hassan menjelaskan, penangguhan tersebut adalah bagi memberi ruang perbincangan yang dicadangkan oleh pihak peguam Fattah.

“Tarikh 7 Oktober kalau ada penyelesaian, kita akan teruskan dengan apa yang patut.

“Perbincangan itu untuk mencari jalan penyelesaian termasuk keputusan sama ada bercerai atau sebaliknya,” katanya.

Pada sebutan kes tersebut hari ini, Fattah Amin, 33, belum bersedia untuk melafazkan cerai terhadap isterinya, Nur Fazura.

Peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakilinya, berkata, tidak wajar untuk aktor tersebut menyatakan sebarang fakta di sebaliknya kerana ia akan memprejudiskan kes yang sedang berlangsung ketika ini.

"Saya ingin menjelaskan secara umum mengenai kenyataan dikeluarkan kepada kami selepas ditanya oleh pihak mahkamah.

"Setakat ini, Fattah belum bersedia atau bersetuju untuk bercerai secara baik atau sebaliknya. Ini kerana, usaha sedang dilakukan untuk memuktamadkan terma bagi menyelesaikan isu," katanya.

Pasangan pelakon popular itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pagi ini bagi sebutan kes permohonan perceraian yang difailkan Fazura, dua minggu lalu.

Sementara itu, Fattah ketika ditemui media di luar mahkamah memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik buat dirinya dan isteri.

“Saya berpegang dengan kenyataan saya sebelum ini, masih menyayangi Fazura.

“Tidak terjadi perkara itu (melafazkan talak) hari ini,” ujarnya yang kelihatan sugul.

Terdahulu, Fazura pada 13 September lalu, memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. 


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments