Terbaharu, sempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal diraikan pada 16 September ini, Hafiz yang juga merupakan seorang komposer dan penerbit muzik itu bakal rilis single istimewa berjudul Raudah.
Menurut Hafiz, 40, karya ciptaan sepenuhnya oleh dia sendiri itu menggambarkan perjalanan rohani dan emosi yang mendalam ke Madinah, ketika melawat Masjid Nabawi dan berdoa di Raudah yang juga bermaksud ‘taman syurga’ dalam bahasa Arab.
"Sebagaimana ramai umat Islam tahu, ia adalah tempat orang beriktikaf dengan mengerjakan solat serta berdoa saat menunaikan haji dan umrah. Kita diajar bahawa doa di situ pasti dikabulkan dengan izin Allah.
“Jadi dalam bait lirik lagu ini, saya menekankan kekaguman dan ketaatan yang dirasai ketika menyaksikan perhimpunan besar jemaah haji sambil meluahkan kerinduan untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW di Syurga.
Mengulas lanjut tentang single penuh makna itu, bekas penyanyi kumpulan nasyid UNIC itu berkata, proses rakaman tidak mengambil masa yang lama kerana segala persiapan diatur dengan baik.
“Untuk penghasilan lagu dan lirik saya mengambil waktu seminggu dan dua minggu lagi siapkan proses rakaman muzik dan vokal, selain adunan serta mastering.
“Di samping membabitkan pemuzik-pemuzik tempatan, saya juga menggunakan khidmat pemuzik antarabangsa dari Istanbul, sekali gus menghadirkan unsur Timur Tengah dan nuansa ‘padang pasir’ bagi mengembalikan memori buat suasana lagu ni.
“Saya juga mahu lagu ini menjadi lagu gembira dan ceria, jadi ia harus memberi semangat, Ini kerana bila hendak menunaikan umrah atau haji kita harus gembira, rasa bersyukur dan berbangga menjadi umat Nabi Muhammad SAW." jelasnya yang turut menyelitkan kalimah selawat ke atas junjungan besar sebagai komposisi yang melengkapi lagu tersebut.
Rakam video sendiri
Menariknya, Raudah turut menampilkan sebuah Muzik Video (MV) yang dirakam selepas menunaikan umrah. Rakaman tersebut dilakukan bermula dari Mekah hingga Madinah dengan menggunakan keretapi laju dan diteruskan di sekitar kawasan Masjid Nabawi selain dalam kawasan Raudah.
"Alhamdulillah walaupun sudah banyak kali berpeluang ke Masjid Nabawi di Madinah, saya tak sangka kali ini dapat luangkan masa dua jam lebih di situ. Sekarang kalau hendak masuk ke kawasan Raudah, semua pengunjung harus menggunakan sebuah aplikasi khas dan setiap pengunjung diberi masa sekitar 10 minit sahaja.
"Saya mendapat slot jam 3.30 pagi, tetapi berkat rezeki Allah, saya diberi peluang menunggu sehingga waktu solat subuh sekitar jam 5 pagi dan menunaikan solat subuh di dalam Raudah.
"Jadi di situ saya mengambil peluang untuk merakam video sebanyak mungkin menggunakan telefon bimbit,” katanya.
Single Raudah cukup istimewa buat Hafiz | FOTO: Sony Music Entertainment Malaysia |
Menerusi penghasilan karya tersebut, Hafiz berharap peminat dan pendengar muziknya dapat merasai kegembiraan serta keterujaan yang dibawa dalam lagu itu, selain bersama merasakan kenikmatan dalam Raudah.
“Pada masa yang sama saya mahu terus bangkitkan kerinduan dan kecintaan kepada Nabi SAW. Sempena Maulidur Rasul kita perbanyakkan selawat dan ikut sunnah baginda.
"Buat yang belum ada rezeki atau kesempatan untuk menunaikan umrah atau haji ke masjid nabi, anda boleh selawat di mana-mana.
"Sesungguhnya inilah dakwah kecil saya untuk mengingatkan umat Nabi Muhammad supaya berselawat sempena Maulud Nabi,” akhirinya.
Raudah yang rilis pada 6 September baru-baru ini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- interpretasi-saya-mungkin-berbeza
- penuh-emosi-amira-othman-kembali
- kelainan-dalam-muzik-hamba-cinta-syamel
0 Comments