Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Penuh emosi, Amira Othman kembali Melewati Mimpi


LAMA menyepi tanpa tampil dengan sebarang karya baharu, penyanyi Amira Othman kini kembali mengubati rindu peminat menerusi single istimewa, Melewati Mimpi.

Karya genre pop balada terbitan Alternate Records & Talents dan Sony Music Malaysia itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Aiman Sidek.

Melewati Mimpi yang juga merupakan lagu runut bunyi atau OST drama Pinjaman Syurga memancarkan emosi mendalam yang menyentuh jiwa dan menggetarkan kalbu melalui kehebatan naratifnya.

Menurut Amira, single tersebut merupakan kerjasama pertamanya bersama Aiman Sidek dan mengakui teruja dapat menimba pengalaman baharu bersama komposer terbabit sepanjang proses rakaman.

"Melewati Mimpi adalah karya yang begitu menyentuh kalbu, seiring dengan jiwa saya sebagai pencinta balada.

"Saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja kerana percaya setiap orang ada kelebihan tersendiri. Namun dengan sentuhan magis Aiman, saya dapat meneroka dimensi baharu dalam kerjaya muzik saya.

"Hasilnya, kami mencipta sebuah karya agung yang bukan sahaja memukau, tetapi juga menggugah emosi paling dalam," ujarnya.

Berkongsi cabaran ketika proses rakaman, Amira mengakui tidak mudahnya menjiwai lagu yang menyentuh hati itu.

"Cabaran dalam menjiwai lagu ini sememangnya besar, terutamanya kerana saya jarang mendekati genre balada sebelum ini. Namun keseronokan yang muncul ketika meneroka dimensi baru ini memberi kepuasan luar biasa.

"Saya berharap Melewati Mimpi akan diterima semua golongan, tanpa mengira usia. Dengan gaya unik yang dibawa oleh lagu ini, saya yakin melodi dan liriknya mampu meresap ke dalam hati dan terus dihayati oleh pendengar," ungkapnya.

Emosi mendalam

Sementara itu Aiman Sidek mendedahkan idea lagu tersebut tercetus sebaik sahaja menerima sinopsis drama Pinjaman Syurga, sebelum mula mengolah melodi yang sesuai dengan tema drama tersebut. 

“Alhamdulillah saya berjaya mencipta lagu ini dengan sentuhan luar biasa, menggali tema cinta dan pengharapan yang meruntun jiwa dalam drama tersebut.

"Lebih mengagumkan, proses pembikinannya hanya mengambil masa seminggu daripada demo hingga ke mastering, menjadikannya antara projek terpantas yang pernah saya ciptakan.

“Saya kagum dengan kemampuan Amira menyampaikan emosi dan feel dengan tenang, tanpa perlu menjerit untuk lagu ini. Ketenangan itulah yang membuatkan emosi dalam lagu itu sampai.

"Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati para pendengar dan menjadi siulan ramai, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Amira dalam industri muzik tanah air," akhirnya.


Melewati Mimpi nyanyian Amira Othman kini boleh didapati di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian.

Sementara drama Pinjaman Syurga pula sedang hangat ditayangkan menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3 dan strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my - 7KLIK

Post a Comment

0 Comments