Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Mawar Rashid berusaha untuk sembuh dan tersenyum lagi

| FOTO: Sony Music Entertainment

JIKA sebelum ini namanya lebih dikenali sebagai seorang pelakon, kini Mawar Rashid mengambil cabaran baharu dengan mengembangkan bakatnya ke bidang nyanyian.

Memberanikan diri dengan menampilkan sebuah single balada berjudul Terdiam, pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, itu berharap agar karya sulungnya itu dapat diterima ramai. 

Menurutnya, lagu ciptaan Madebyartin dan Amir Hasan itu mencerminkan rasa introspeksi yang mendalam dan perjuangan dengan kekurangan peribadi serta kesakitan emosi.

Malah lirik tulisan Amir Hassan begitu menggambarkan kesunyian dan kesedihan, sambil mempertanyakan sama ada ini hanya satu fasa kehidupan.

"Dalam karya ini saya merenung kembali detik-detik kebahagiaan yang sementara dan berusaha mencari makna walaupun menghadapi cabaran.

"Saya mengakui kekurangan diri dan berusaha untuk sembuh serta tersenyum lagi, walaupun berasa letih dan mungkin memerlukan lebih daripada sekadar rehat.

"Secara keseluruhannya, lagu ini adalah tentang usaha untuk mencari ketenangan dan kegembiraan di tengah-tengah dilema peribadi," jelasnya.

Mawar ambil cabaran baharu sebagai penyanyi | FOTO: Sony Music Entertainment


Bercerita lebih lanjut tentang single tersebut, selebriti asal Kelantan itu berkata, penulis lagu berkenaan memahami apa yang dialaminya, sekali gus meudah menterjemahkan dalam lagu.   

“Saya sudah mengenali Amir dari zaman kolej lagi, jadi saya tahu dia mampu berikan apa yang saya mahu selepas saya jelaskan segalanya.

"Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan amir bersama-sama Madebyartin berjaya menghasilkan apa yang saya mahu,” ujar ibu kepada tiga anak itu lagi.

Pilih Janna Nick

Terdiam juga tampil dengan sebuah muzik video (MV) istimewa yang diarahkan oleh pelakon Janna Nick.

“Saya memilih Janna kerana saya tahu akan hasil kerjanya selain bakat dan pengalaman yang ada pada dirinya. Lagipun saya sudah lama mengenalinya dan saya tahu dia mampu memberikan apa yang saya mahu.

“Banyak cabaran yang saya lalui ketika penggambaran MV ini di mana saya termuntah di hujung rakaman kerana pening gara-gara terlalu banyak aksi berpusing untuk tarian yang digunakan dalam video.

"Malah ada babak cadangan Janna yang membabitkan pembakaran bunga dan memerlukan saya bertindak dengan cepat. Saya tak akan lupakan babak itu,” katanya.

Terdiam dilancarkan pada 6 September lalu dan kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments