Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Malam istimewa: Afgan dan Lyodra tawan hati peminat di Megastar Arena


Oleh: BAGINDA ZULQARNAIN

PESONA konsert ADA Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur yang berlangsung pada Sabtu lalu pasti terakam kemas dalam ingatan para penonton yang hadir.

Megastar Arena Kuala Lumpur menjadi saksi magis gandingan Afgan dan Lyodra yang tampil dengans sebuah persembahan yang cukup istimewa dan memikat.

Afgan, atau nama sebenarnya Afganshah Reza, bukanlah nama asing dalam industri muzik Indonesia mahupun Malaysia. Penyanyi berusia 35 tahun itu cukup dikenali dengan suara mendayu seiring karya-karya romantis yang dialun.

Sementara kehadiran bintang muda berbakat, Lyodra, yang cukup dikenali dengan lagu Pesan Terakhir memberi dimensi baharu kepada konsert ini.

Konsert anjuran Kharisma Music itu dibuka dengan persembahan daripada bakat baharu tempatan, Ash Fasryll, yang tampil memukau penonton dengan persembahan penuh emosi menerusi lagu Nyaman yang dipopularkan oleh Andmesh Kamaleng.

Persembahan pembukaan yang berjaya membawa mood mendalam dan menghubungkan emosi penonton kepada persembahan bintang utama iaitu Afgan dan Lyodra.

Afgan yang sememangnya mempunyai ramai peminat di Malaysia membuka persembahannya dengan lagu Jodoh Pasti Bertemu, diikuti seleksi hitsnya seperti Terima Kasih Cinta, Sadis, Bawalah Cintaku, Kamu Yang Ku Tunggu dan lain-lain.

Setiap lagu dinyanyikan penuh emosi, sekali gus membuai penonton dengan bait-bait lirik yang disampaikan. Suaranya mengalir dengan penuh pesona.

Persembahan penuh emosi daripada Afgan | FOTO: Kharisma Music

Tidak hanya menghiburkan penonton dengan nyanyian, penyanyi asal Indonesia itu turut berkongsi kisah dan penghargaannya kepada peminat.

Menurut Afgan konsert ADA adalah sesuatu yang tidak dirancang pada awalnya.

“Saya rasa malam ini istimewa, terutama kerana saya dapat berkongsi pentas dengan Lyodra.

"Idea ini bermula daripada mesej saya kepadanya di Instagram. Saya tanya, ‘Kamu mau nggak nyanyi bareng sama aku?’

"Tak disangka, kolaborasi kami diterima baik, dan hari ini kami berjaya mengadakan konsert bersama," ujarnya.

Afgan juga tidak lekang mengucapkan terima kasih kepada peminatnya selepas setiap lagu yang dinyanyikan, menunjukkan betapa besar apresiasinya terhadap sokongan yang diberikan.

“Pengalaman malam ini sungguh luar biasa, saya berasa teruja dapat berkongsi pentas dengan Lyodra dan berinteraksi secara lebih intim dengan peminat saya di Kuala Lumpur,” ungkapnya.

FOTO: Kharisma Music

Antara momen paling emosional pada malam itu adalah ketika Afgan membawakan lagu Bukan Cinta Biasa dan lagu baharunya yang berjudul Ada yang juga merupakan lagu tema persembahan pada konsert tersebut bersama Lyodra.

Persembahan berimpak

Sementara itu, penampilan Lyodra juga tidak kurang hebatnya. Vokal penyanyi muda ini sangat bertenaga dan berimpak sehingga membuatkan penonton terpaku.

Bintang berusia 21 tahun itu menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Sang Dewi, Tak Dianggap, Menyesal dan banyak lagi.

Tidak hanya itu, Lyodra juga mencuri perhatian dengan karakternya yang ceria, lucu dan bijak berinteraksi dengan penonton.

“Hobi kamu apa? Hobi aku galau!”. Gurauan spontannya menjadikan suasana lebih santai dan mesra, sekali gus mengikat hubungannya dengan penonton.

Vokal memukau Lyodra pikat jati penonton FOTO: Kharisma Music

Dalam pada itu, Lyodra yang pertama kali mengadakan persembahan di Malaysia itu meluahkan rasa terharunya apabila menerima sokongan yang begitu hangat daripada peminat.

“Saya sangat berbesar hati dapat mengadakan konsert di sini dan bertemu dengan peminat semua yang begitu menyokong,” katanya.

Konsert ADA juga mendapat pujian ramai kerana menampilkan kualiti muzik hebat. Setiap nota dimainkan sempurna oleh band pengiring mereka, dan dilengkapkan dengan kehebatan suara Afgan serta Lyodra yang tetap stabil dan mendalam sepanjang konsert berlangsung.

Kedua-dua penyanyi ini ternyata bukan sahaja berbakat dalam rakaman, tetapi juga berjaya menampilkan persembahan live yang berkualiti tinggi.

Setiap kali tampil menyanyikan hits mereka, penonton tidak ketinggalan menyanyi bersama. Mereka berjaya mencipta mencipta suasana yang hangat dan meriah.

Antara momen menarik Afgan dan Lyodra di pentas FOTO: Kharisma Music

Persembahan diakhiri dengan meriah melalui encore lagu Panah Asmara. Penonton tidak henti-henti bertepuk tangan, dan sebelum meninggalkan pentas, Afgan berjanji akan kembali lagi pada masa akan datang untuk memberi lebih banyak persembahan kepada peminatnya di Malaysia.

Secara keseluruhan, konsert ADA Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur memberikan pengalaman yang cukup indah. Afgan dan Lyodra membuktikan mengapa mereka begitu disayangi di arena muzik, bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[KREDIT FOTO: Kharisma Music - Terima Kasih Joe Saiful]

Post a Comment

0 Comments