Rasa gelisah, tidak balas keterlaluan dan beberapa perkara lain mula menghambat sehingga membuatkan mereka yang mula diburu berasa terancam.
Hal itu urut menjadi perhatian penyanyi Zynakal yang memahami apa yang dilalui dan dirasai oleh mereka yang diserang kebimbangan melampau atau anxiety. Baginya, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh memandangkan sesiapa sahaja boleh mengalami perkara berkenaan dalam kehidupan seharian.
Justeru Zynakal cuba berkongsi dan meluahkan segala-galanya mengenai isu terbabit dalam lagu Kenapa Kembali yang juga merupakan karya terbarunya.
“Saya cuba menyelami hati mereka yang merupakan anxiety fighter apabila mereka bersendirian. Apa yang dirasa kemudian diterjemah kepada lirik-lirik yang terkandung di dalam Kenapa Kembali.
“Kisah yang diketengahkan pula lebih berterus terang tentang sebuah hubungan cinta yang tidak dapat diteruskan. Semua ini berlaku kerana masalah sama yang datang berulang-ulang kali.
“Liriknya ada kena mengena dengan diri saya tetapi tidaklah secara keseluruhan,” ujarnya.
Kenapa Kembali merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Zynakal dan sudah dilancarkan secara rasmi pada 9 Ogos lalu di semua pelantar digital.
Mengulas lanjut, penyanyi asal Kuala Lumpur itu mengakui cenderung untuk sentiasa memberikan kelainan dalam setiap lagu yang dibawa. Malah intipati lirik yang ditulis juga perlu ada kisah tersendiri agar setiap lagu dihasilkan tidak klise dengan karya-karya terdahulu.
Single tersebut mengisahkan tentang pasangan yang mahu kembali bersama, tetapi banyak halangan dek masalah sama yang datang berulang kali.
Mendengarkan sahaja karya terbaharunya itu, banyak sisi kematangan terserlah bukan sahaja kepada lirik tetapi juga kepada keseluruhan komposisi muzik Kenapa Kembali.
Selain mahu memberikan yang terbaik, Zynakal juga mahu memberikan kelainan dalam karya kali ini memandangkan dia juga baru sahaja melancarkan single Sendiri pada Mac lalu.
Pasang strategi
Tidak mahu hanya menunggu maklum balas pendengar semata-mata, bintang berusia 26 tahun itu mengatur pelbagai strategi termasuklah aplikasi TikTok untuk memasarkan dan ‘membesarkan’ karya tersebut.
Seperti mana yang diketahui umum, TikTok merupakan antara platform terkini yang paling berpengaruh. Maka tidak hairankan kebanyakan lagu baharu lebih mudah diterima ramai apabila tular melalui aplikasi berkenaan.
Zynakal mahu karya terbaharuny turut diterima di negara jiran| FOTO: Warner Music Malaysia |
Zynakal mengakui hakikat tersebut harus diikuti oleh anak seni memandangkan perkara berkenaan banyak membantu perkembangan kerjaya seni mereka secara amnya.
“Seperti yang kita tahu TikTok adalah salah satu platform yang sangat besar di mana penggunanya sangat meluas di seluruh dunia. Sudah pasti kita perlu menggunakannya dengan sebaik-baiknya.
“Ini juga akan menjadi medan untuk saya berkongsi karya baharu selain mahu kekal relevan di dalam industri,” tegasnya.
Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Terbang ini mendedahkan bakal merakamkan sebuah album penuh yang juga merupakan manifestasi dirinya tidak lama lagi.
"Kenapa Kembali juga bakal dimuatkan dalam album itu nanti selain beberapa lagu lain yang sedang dalam proses pembikinan.
"Percaturan kali ini juga sedikit berbeza kerana saya mahu memberikan kepelbagaian muzik untuk kepuasan sendiri," katanya lagi.
“Saya mahu pendengar menikmati karya ini dan semoga Kenapa Kembali mampu terbang jauh sampai ke negara tetangga.
"Ini impian saya sejak dahulu mahu karya diterima oleh pendengar luar,” katanya yang menantikan maklum balas peminat.
Single Kenapa Kembali kini boleh dinikmati di kesemua plaform muzik digital, manakal muzik videonya pula menerusi saluran YouTube Warner Music Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments