Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman Instagramnya hari ini, Khairul atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berkata, pertemuan itu sebagai tanda penghargaan daripada pihak New Zealand untuk video percutian sambil memasak yang dihasilkannya di negara berkenaan.
"Saya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan sarapan pagi Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging, tenusu halal, pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk perusahaan kecil sederhana tempatan ke New Zealand.
"Lapan tahun lalu, saya merakam video memasak pertama sambil duduk atas lantai. Hari ini, saya mendapat keistimewaan duduk di sebelah Perdana Menteri dari negara terkenal," ujarnya.
Menurut selebriti asal Kelantan itu, pertemuan tersebut menjadi kenyataan selepas membuat persiapan rapi dengan kedutaan New Zealand sebelum ia menjadi berjaya direalisasikan hari ini.
Khairul Aming menyediakan Roti Jala sambil diperhatian Luxon. |
Menerusi video sama, Khairul dilihat sempat beramah mesra sambil menyediakan juadah sarapan tradisional Malaysia bersama Luxon.
"Hari ini, kita sediakan menu sarapan tradisional Malaysia, roti jala dan teh tarik. Selepas itu, sediakan cendol. Saya tahu cendol bukan makanan untuk sarapan, tapi bagi pencuci mulut.
"Pada masa sama, saya perkenalkan kuih tradisional Malaysia termasuk produk Dendeng Nyet dan Sambal Nyet Berapi. Kemudian, iringi masuk ke dalam dan makan nasi lemak," katanya.
Dalam pada itu, Khairul turut bersyukur apabila pertemuan tersebut berjalan lancer sebagaimana dirancang.
"Alhamdulillah, pertemuan berjalan dengan lancar dan video masak yang dibuat di New Zealand diterima baik kerajaan New Zealand.
Sebelum ini, Khairul mengumumkan bakal tampil dengan siri memasak baharu sembilan episod yang dilakukan di New Zealand. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments