Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Keserasian Ika Mustafa, Aqmal Ramdan jadikan Momento karya istimewa

| FOTO: Alternate Records & Talents


"Lautan biru dipukul ombak rindu. Jiwa aku dihanyut kenangan pilu, Lalu kau hadir bawa rasa baru. Matahari jelita pancaran mu, Ingin ku mengenali dirimu.”

Begitulah antara lirik indah membuai rasa yang dibawakan dalam lagu Momento, duet penyanyi baharu Ika Mustafa dan Aqmal Ramdan.

Kolaborasi luar biasa melalui karya romantis itu ciptaan komposer berbakat Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu ternyata mencetuskan keajaiban tersendiri.

Momento juga menjadi runut bunyi (OST) drama My Stolen First Kiss yang sedang hangat bersiaran di Tonton.

Keserasian Ika Mustafa dan Aqmal Ramdan dalam lagu Momento yang bergenre pop itu bersesuaian dengan karakter mereka serta keunikan nada suara yang sesuai menyampaikan genre muzik tersebut. 

Menerusi gabungan vokal yang saling melengkapi, mereka berjaya mencipta satu keajaiban alunan muzik yang mampu menghidupkan kembali detik-detik indah percintaan, sambil mengalun mesra ke dalam jiwa pendengar.

Ika yang merupakan peserta program Lagu Cinta Kita Musim Ketiga terbitan TV3, mengakui teruja saat pertama kali dipendengarkan lagu tersebut. 

"Momento adalah lagu pertama saya berduet. Dari saat pertama mendengar demo, saya terpikat dengan lirik dan melodi yang sangat comel untuk pasangan bercinta dan sangat menenangkan.

"Bekerja dengan Firdaus Rahmat juga sangat menyeronokkan, di mana dia memberi ruang untuk saya dan Aqmal mengekspresikan kreativiti masing-masing," ujarnya.

Keserasian

Mengulas tentang cabaran dilalui ketika merakamkan lagu terbitan Alternate Records & Talents itu, Ika berkata, mencari keserasian dengan pasanngan duet adalah keutamaannya. 

“Cabaran utama saya adalah membina chemistry dengan Aqmal, kerana lagu ini mempunyai makna yang sangat powerful dan berkait rapat dengan perasaan bercinta yang dialami oleh semua generasi.

"Alhamdulillah, kami berjaya menghasilkan sinergi yang harmoni, berkat sikap Aqmal yang ceria, kelakar dan mudah bergaul menjadikan setiap momen di studio penuh keceriaan dan keseronokan,” jelasnya.

Sementara itu, Aqmal Ramdan, yang merupakan Naib Juara program Terpaling Juara berkata, Momento cukup serasa dengan jiwanya.

"Lagu ini sangat serasi dengan jiwa dan saya gembira dapat menyumbangkan suara dalam sebuah karya yang penuh makna ini.

"Kami mengharapkan agar Momento mampu meninggalkan kesan yang mendalam pada setiap telinga yang mendengarnya, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sedang dilamun cinta. Melodi dan liriknya sangat menyentuh, dan saya percaya ia akan menjadi lagu yang kekal dalam ingatan. 

"Jika diberi peluang untuk mempersembahkan lagu ini di pentas Anugerah Juara Lagu, itu pasti menjadi impian terbesar kami," katanya yang sebelum ini pernah tampil dengan single Seindah Kasih dan Only With You.

Nostalgia cinta

Momento bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi merupakan kisah momen manis yang dilakarkan pada awal percintaan, detik-detik kecil yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup setiap individu yang mendengar.

Firdaus Rahmat selaku komposer pula menjelaskan idea di sebalik pemilihan penyanyi tersebut tercetus daripada pengalaman setiap individu yang pernah merasai keindahan detik awal bercinta.

"Saya memilih Aqmal dan Ika kerana keunikan suara Aqmal yang rendah dan kemas berpadu dengan suara Ika yang lunak dan tinggi, mencipta harmoni yang sangat memikat. Keserasian vokal mereka saling melengkapi, membuatkan sesi rakaman sangat lancar dan menyeronokkan.”

“Mereka menunjukkan dedikasi dan semangat kerja yang tinggi sepanjang proses rakaman, memberikan hasil akhir yang cukup memuaskan. Kedua-duanya sangat profesional, tahu menggunakan kebolehan masing-masing dan sentiasa memperbaiki kelemahan. 

"Saya berharap lagu ini dapat diterima ramai. Dengan lirik yang berkait rapat dengan kehidupan seharian, saya percaya lagu ini mampu menjadi satu nostalgia cinta yang akan terus diingati,” katanya.

Momento kini boleh didapati di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman dalam talian seperti Spotify dan YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments