Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Interpretasi saya mungkin berbeza kerana melihatnya sebagai lagu yang mempunyai pesan ketuhanan" - Liza Hanim

| FOTO: Sony Music Malaysia

SETELAH sukses mengadakan konsert solo istimewa buat peminat pada 4 Februari lalu, penyanyi bersuara gemersik, Liza Hanim kini tampil pula dengan karya baharu Perisai Cinta.

Bagi Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abdul Halim, single balada hasil ciptaan sepenuhnya oleh Shazriq Azeman & Omar K itu cukup bermakna kerana mempunyai mesej mendalam dan ketuhanan.

"Lagu ini mempunyai dua maksud. Interpretasi saya mungkin berbeza kerana saya melihatnya sebagai sebuah lagu yang mempunyai pesan ketuhanan.

"Mesej lagu ini menjelaskan bahawa dalam setiap kesusahan dan setiap yang apa yang dilakukan, kadangkala kita lalai dan kita rasa seperti perlu bergantung pada seseorang manusia.

"Manusia yang dimaksudkan dalam lagu ini adalah seorang lelaki harapan watak wanita utama tersebut. Namun kala dia sedar bahawa lelaki itu juga punya nafsu dan mampu lalai dan alpa, dia akan sedar satu-satunya tempat bergantung adalah Allah SWT dan bukan manusia biasa,” ujarnya.

Perisai Cinta merupakan lagu runut bunyi atau OST drama Ternyata Sebuah Bahagia lakonan Zamarul Hisham, Sarimah Ibrahim dan Elvina Mohamad.

Mengulas tentang kerjasama dengan Omar K dan Shazriq Azeman, Liza yang sememangnya tersohor dengan kemampuannya menghidupkan karya balada mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan pencipta dan penulis lagu itu.

“Saya memang dah lama ingin menyanyikan lagu-lagu Omar K kerana muziknya seiring serta sesuai dengan zaman dan bersifat kekinian, tetapi peluang itu tidak pernah ada sebelum ini.

"Jadi apabila dapat berkolaborasi buat pertama kali, saya begitu teruja dan gembira. Apatah lagi ini kali pertama saya bertemu dengannya.

"Sementara Shazriq Azeman pula, saya pernah berjumpa dengannya di pentas program All Together Now, dan ia juga adalah kesempatan kali pertama kami bekerjasama," jelas Liza.

Keajaiban

Berkongsi lebih lanjut mengenai proses rakaman Perisai Cinta, penyanyi yang bakatnya mula dicungkil menerusi program pencarian bakat terbitan RTM, Golden Teen Search itu lega apabila segala yang diatur berjalan lancar sebagaimana dirancang.

"Lebih memudahkan kerja adalah mereka berdua sangat menghormati dan berbudi bahasa. Jadi rakaman berjalan dengan sangat lancar dan mudah.

"Lagipun saya datang dengan penuh semangat seperti setiap rakaman saya sebelum ini. Saya sudah hafal lagu dan faham jalan ceritanya.

"Saya anggap lagu ini ada keajaiban tersendiri kerana ia begitu cepat untuk diselesaikan. Saya dapat menangkap intipati lagu ini dengan cepat dan sekitar 45 minit sahaja semuanya sudah selesai,” ungkapnya.
| FOTO: Sony Music Malaysia

Dalam pada itu, Liza yang sebelum ini pernah tampil dengan tujuh buah album studio mengharapkan agar single terbaharunya itu dapat diterima ramai sebagai karya terdahulu.

"Saya harap lagu ini mendapat sambutan dan mampu memberikan kesan kepada semua yang mendengar, khasnya para peminat yang sedia ada dan peminat-peminat baharu," akhirinya.

Perisai Cinta telahpun dilancarkan pada 6 September lalu dan boleh dimuat turun di iTunes serta dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments