Oleh: AILEEN ADAM
BARU-BARU ini netizen kembali hangat memperkatakan tentang identiti bapa kandung bintang K-Pop sensasi, Jennie apabila muncul seorang individu yang mendakwa mempunyai hubungan darah dengannya.
Lelaki yang juga merupakan seorang penerbit dan penulis buku itu mendakwa terpisah dengan Jennie, 28, semenjak kecil dan kini tampil berkongsi cerita tentang anggota kumpulan Blackpink itu dalam buku terbaharunya.
Pengakuan yang dibuat dalam kandungan buku tersebut telah menarik perhatian dan dalam masa sama turut mengundang kekeliruan ramai.
Biarpun peminat sebelum ini sedia maklum pendirian Jennie yang tidak pernah menyebut atau mendedahkan identiti bapa kandungnya kepada umum, tetapi ada segelintir daripadanya yang mula terpengaruh dengan cerita yang ditulis individu terbabit.
Pendedahan itu juga pantas mendapat sorotan media dalam dan luar negara, selain munculnya pelbagai versi berita palsu berkenaan isu tersebut.
Kesal dengan dakwaan terbabit, agensi pengurusan Jennie, Odd Atelier Entertainment (OA) tampil menafikan dakwaan tersebut.
OA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, dakwaan berkenaan adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Individu terbabit tidak ada kena-mengena atau mempunyai apa-apa hubungan dengan Jennie dan keluarganya.
"Baru-baru ini, satu penerbitan yang dihasilkan telah menyebarkan berita palsu yang mengandungi maklumat salah dengan menyamar sebagai bapa artis kami iaitu Jennie.
"Kami ingin menjelaskan bahawa ini adalah fakta yang jelas tidak benar dan tiada kaitan dengan artis kami. Kami berharap peminat tidak membeli buku tersebut bagi mengelakkan sebarang kerugian," ujarnya.
Dalam kenyataan sama, OA juga memaklumkan sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
"Kami sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengedar buku tersebut melalui firma guaman atas dasar fitnah dan gangguan perniagaan akibat penyebaran maklumat palsu.
"Tindakan sama akan turut diambil terhadap penulis yang memuat naik apa-apa hantaran yang menyebarkan maklumat palsu tentang artis kami, termasuk fitnah, gangguan seksual, dan cerita berniat jahat.
"Tindakan sedemikian jelas merupakan jenayah, dan kami akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa bertolak ansur berdasarkan bukti yang dikumpul," ujar kenyataan tersebut. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- sambutan-ulangtahun-ke-8-amat-bermakna
- blackpink-bakal-comeback-album-baharu
- kembali-berkumpul-blackpink-bakal
TONTON VIDEO PILIHAN
0 Comments