Oleh: SORAYA AFNANCAPYBARA atau Hydrochoerus hydrochaeris adalah mamalia terbesar yang termasuk dalam keluarga rodentia sebagaimana Tikus Belanda dan merupakan haiwan yang mempunyai populasi stabil dalam habitat semula jadi mereka.
Haiwan yang mempunyai badan besar dengan kaki yang pendek itu berasal dari Amerika Selatan dan banyak didapati didapati di negara-negara seperti Brazil, Venezuela, Colombia, dan Argentina.
Ia sangat jarang di temui di benua lain termasuk Asia, kerana habitat dan ekosistem mereka adalah spesifik untuk kawasan tropika dan subtropika di Amerika Selatan.
Capybara dikenali dengan kemampuannya untuk hidup di habitat basah, dan sering kali dapat dilihat berkumpul di sekitar sumber air tawar seperti sungai, danau, paya dan kawasan-kawasan yang lembab.
Ia adalah haiwan yang boleh berenang dengan baik dan berkebolehan menahan nafas selama lima minit ini juga sering menjadi tarikan banyak pemangsa setempat seperti jaguar, puma, helang dan anakonda.
Dari segi fizikal Capybara dewasa boleh mencapai panjang sehingga 1.2 meter dan beratnya boleh mencecah 50 hingga 66kg, selain Capybara betina lebih berat daripada jantan.
Haiwan unik ini mempunyai bulu yang kasar berwarna coklat kekuningan, dengan kepala yang besar dan hidung pendek. Seperti rodentia lain, Capybara mempunyai gigi depan yang terus tumbuh, dan menggerus gigi mereka dengan mengunyah tumbuh-tumbuhan.
Jangka hayat
Capybara adalah haiwan sosial yang biasanya hidup dalam kumpulan yang terdiri daripada 10 hingga 20 ekor. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu kumpulan itu boleh menjadi lebih besar.
Dari segi pemakanan, Capybara adalah herbivor yang memakan perbagai jenis tumbuhan seperti rumput, tumbuhan air, dedaun, kulit kayu, ranting, sayuran dan lain-lain.
Haiwan ini boleh dikatakan cerewet memilih makanan di mana selain rumput (makanan utama), mereka lebih suka kepada dedaun dan jenis pokok tertentu sahaja.
Dalam pada itu, Capybara cenderung mencari makanan dalam kelompok dan memiliki kebiasaan menggigit batang-batang tumbuhan untuk mendapatkan nutrisi yang diperlukan. Mereka juga memiliki sistem pencernaan unik yang membantu mencerna serat yang tinggi dalam makanan.
Capybara membunting selama tempoh antara 130–150 hari, dan mereka boleh beranak dalam purata empat ekor hingga maksimum lapan ekor.
Jangka hayat seekor Capybara biasanya antara 8 hingga 12 tahun di habitat liar, tetapi jika hidup dalam pemeliharaan atau situasi lebih baik, mereka dapat hidup selama 12 hingga 15 tahun. Faktor-faktor seperti perjagaan dan persekitaran juga dapat mempengaruhi jangka hayat mereka.
Walaupun populasi haiwan tersebut tidak dalam bahaya kepupusan, pemeliharaan habitat semula jadi Capybara adalah penting untuk memastikan kelangsungan hidup mereka di masa depan.
Tidak berbahaya
Capybara umumnya tidak berbahaya kepada manusia. Mereka adalah haiwan yang biasanya bersifat sosial, tidak agresif dan boleh menjadi jinak.
Namun seperti mana-mana haiwan liar lain, mereka mungkin bertindak balas secara defensif jika berasa terancam atau dalam keadaan terdesak.
Reaksi terhadap manusia bergantung pada cara mereka dibesarkan dan pengalaman dengan manusia itu sendiri. Jika Capybara dibesarkan di sekitar manusia dan diberi perhatian serta kasih sayang, mereka boleh menjadi sangat jinak dan mesra.
Walau bagaimanapun, Capybara juga akan merasa takut jika mereka tidak biasa dengan manusia atau jika berasa terancam. Namun, kejadian serangan haiwan ini terhadap manusia adalah sangat jarang berlaku.
Capybara lebih cenderung untuk menghindari konfrontasi dan dapat dijadikan haiwan peliharaan dalam beberapa konteks, walaupun mereka memerlukan persekitaran dan ruang yang sesuai.
Mereka adalah haiwan yang biasa hidup secara berkumpulan, jadi adalah lebih baik untuk mempunyai lebih daripada satu Capybara (pemeliharaan) bagi memastikan mereka tidak merasa kesepian.
Di beberapa negeri di Amerika Syarikat, Capybara dibenarkan sebagai haiwan peliharaan.
Jika bercadang untuk berinteraksi dengan haiwan ini, pastikan anda melakukannya dengan berhati-hati dan memberi mereka masa membiasakan diri dengan kehadiran anda. Ini kerana meskipun dikenali sebagai haiwan yang ramah dan sosial, tetapi Capybara tetap merupakan haiwan liar.
Cara betul berinteraksi
1. Berkenalan dengan tenang
Jika anda bertemu Capybara, tetaplah tenang. Jangan melakukan gerakan cepat atau agresif sehingga membuat mereka berasa terancam.
2. Berikan ruang
Pastikan untuk memberikan ruang yang cukup agar Capybara tidak merasa tertekan. Jangan mendekati mereka secara langsung tanpa izin atau isyarat.
3. Menyentuh dengan hati-hati
Jika Capybara nampak seperti selasa dan mula mendekati, barulah cuba untuk menyentuhnya. Gunakan tangan untuk membelai dengan lembut. Hindari menyentuh bahagian kepala dan ekor terlebih dahulu kerana itu akan menjadi zon sensitif bagi mereka.
4. Pemberian makanan
Jika dibenarkan (zoo atau taman haiwan), anda boleh memberikan makanan seperti sayuran segar sebagai cara untuk membangunkan kepercayaan.
5. Hormati reaksi
Setiap Capybara memiliki keperibadian berbeza. Sebahagian daripada mereka mungkin lebih sosial dan ingin berinteraksi, sementara yang lain mungkin lebih pendiam dan suka menjaga jarak. Hormati rintangan yang mereka tunjukkan.
6. Jangan memaksa
Jika Capybara menunjukkan tanda-tanda tidak selesa (seperti bersembunyi atau menjauh), jangan memaksa mereka untuk berinteraksi.
7. Pelajari kebiasaan
Memahami perilaku dan kebiasaan Capybara dapat membantu anda berinteraksi dengan mereka secara lebih baik. Mereka adalah haiwan sosial yang menikmati kebersamaan dengan anggota kelompok mereka.
8. Kunjungan ke habitat asli
Jika Anda ingin melihat Capybara di habitat asal mereka, pertimbangkan untuk mengunjungi tempat-tempat seperti taman haiwan atau zoo kerana interaksi bersama mereka dilakukan oleh golongan profesional.
Pendedahan
Capybara sering dianggap sebagai haiwan pelik bagi sesetengah orang, terutamanya bagi mereka yang tidak biasa dengan mamalia besar ini.
Namun haiwan itu kini sering mendapat sorotan apabila semakin banyak mendapat pendedahan daripada pelbagai pihak. Ditambah pula tarikan mereka dengan sifat tersendiri yang sosial, lucu, unik dan menjalani cara hidup berbeza dengan kebanyakan haiwan lain.
Malah di Malaysia sendiri, Capybara sebelum ini mungkin agak asing dan tidak begitu dikenali. Namun dengan pelbagai pendedahan dan peningkatan informasi mudah mengenai pelbagai spesis haiwan di dunia, Capybara mula dikenali.
Pada sesetengah masyarakat atau tempat tertentu, ada yang mengenali Capybara dengan panggilan Babi Air. Pun begitu ia hanya sekadar nama panggilan kerana Capybara sama sekali tidak termasuk dalam jenis atau kategori satu kumpulan dengan babi yang haram disentuh (najis berat) bagi mereka yang beragama Islam.
Berikut adalah petikan penjelasan daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Kami menyimpulkan bahawa hukum bagi Capybara atau babi air ini tidak sama seperti hukum babi (pig) dan keturunannya.
"Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat bahawa Capybara adalah suci serta bangkainya tergolong dalam najis sederhana dan bukannya seperti babi yang mana dihukumkan sebagai najis berat sama ada ketika masih hidup ataupun setelah mati."
[Sila baca penjelasan penuh di: https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4386-irsyad-al-fatwa-siri-ke-474-hukum-menyentuh-atau-memegang-babi-air-capybara ] - 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments