Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Barisan Calon ABPBH36 hangatkan Karnival Jom Heboh Pulau Pinang


KEHANGATAN Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-36 yang menghampiri kemuncaknya, makin dirasai apabila calon Top 20 menyertai Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, mulai 27 hingga 29 September ini.

Memulakan program, kembara konvoi yang membawa calon Top 20, akan berlepas dari Balai Berita, Bangsar, pada jam 10 pagi, pada Jumaat ini, menuju ke KJH Pulau Pinang.

Acara pelepasan konvoi ABPBH36 bakal disempurnakan Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, yang akan turut sama menyertai konvoi tersebut.

Rombongan tersebut dijadual singgah di Hentian Rawat dan Rehat (R&R), Sungai Perak untuk mempromosikan Malam Kemuncak ABPBH36 dan memberi peluang kepada pengguna lebuh raya bertemu artis terkenal tanah air.

Pihak penganjur turut mengatur program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengunjungi seniman era 1960-an, Rocky Din iaitu penyanyi lagu Marilah Mengundi, di kediamannya di Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth.  Rombongan konvoi ABPBH 36 bakal menyampaikan sumbangan wang tunai kepada artis veteran itu.

Pada KJH Pulau Pinang, ABPBH36 tampil dengan reruai tersendiri yang memberi peluang kepada pengunjung terutama peminat untuk bertemu dengan artis kesayangan sambil beramah-mesra, bergambar dan menyertai aktiviti permainan bersama selebriti. Pelbagai barangan eksklusif ABPBH 26 turut menanti pengunjung.

Program ABPBH 36 di Stadium Batu Kawan akan disertai calon Top 20 termasuk hos utama. Seramai 18 calon ABPBH 36, yang menggabungkan artis lama dan baharu bakal memeriahkan acara, termasuk salah seorang hos utama malam kemuncak ABPBH 36, iaitu artis versatil, Didie Alias.

Antara artis dan selebriti yang menyertai program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang adalah trio Senario iaitu Yassin, Saiful Apek dan Lan Pet Pet; Haiza, Ernie Zakri, Nabila Razali, Khai Bahar, Sweet Qismina, Bella Astilah dan Ara Johari.

Tidak ketinggalan artis seperti Trisha Ooi, Fieya Julia, Shah Randhy, Tika Nasir, Putera Muhammad dan Hasif Upin.

Program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang turut dihangat dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran dan persembahan istimewa kumpulan The Gadys.



Bertemakan Teguh, ABPBH 36 bakal bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam dan boleh ditonton menerusi saluran TV3 serta strim melalui saluran Tonton pada 9 malam, 11 Oktober depan.

Kekal relevan

Mengulas mengenai penganjuran program ABPBH36 di KJH Pulau Pinang, Pengarah ABPBH36 merangkap Pengarang Berita Kanan Hiburan/Projek BH, Shamshul Azree Samshir, berkata, program tersebut menjadi antara salah satu pengisian penting bagi anugerah paling berprestij edisi kali ini.

"Tempoh 36 tahun ABPBH dianjurkan bukanlah singkat. Kami percaya tanpa sokongan pembaca dan peminat, tidak mungkin kami dapat bertahan sehingga kini.

“Untuk bertahan, bukan sedikit cabaran dihadapi. Kami sebagai penganjur sentiasa komited dalam menambah baik pengisian ABPBH dan memastikan acara anugerah breprestij ini kekal relevan dalam mengukur populariti penggiat seni tempatan.

"Sementara program ABPBH36 di KJH Pulau Pinang dianggap peluang terbaik untuk BH mendekatkan diri dengan masyarakat dan berinteraksi secara langsung dengan mereka terutama generasi muda selain berlibur dan bersantai," ujarnya dalam satu kenyataan.

Malam kemuncak ABPBH36 mempertandingkan 16 kategori Utama dan lima kategori sampingan Ekstra Tonton Paling Popular.

Kategori tersebut erdiri daripada Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Diikuti Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor Pembantu Filem Popular, Aktres Pembantu Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Aktor Pembantu TV Popular, Aktres Pembantu TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori Ekstra Tonton Paling Popular iaitu Couple Drama Popular, Couple Filem Popular, Watak Antagonis Drama Popular, Lagu Paling Boom Popular dan Artis Sensasi Popular. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments