Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Apabila bumi menjadi seperti 'neraka', manusia mula beralih ke Bulan" - Trilogi Bulan

| FOTO: KLPAC

YAYASAN The Actors Studio akan menutup musim 'Kembali Ke Pangkuan' dengan sebuah trilogi sains fiksyen iaitu Trilogi Bulan, yang akan dipentaskan dari 12 hingga 15 September 2024 di indicine, KLPAC.

Sebuah karya hasil tulisan Yusof Bakar yang sebelum ini sukses dengan naskhah Orang Bulan, yang dipentaskan dengan kehadiran penuh pada 2021.

Kali ini, pengkarya yang telah menulis lebih daripada 50 naskhah teater itu kembali dengan kreativiti luar biasanya membina watak dan alam semesta yang sama untuk melengkapkan trilogi tersebut.

Justeru penonton berpeluang menyaksikan Orang Bulan bersama dua karya baharu iaitu Penakluk Bulan dan Pemusnah Bulan dalam satu malam.

Pengarah Artistik Bersekutu The Actors Studio, Christopher Ling, berkata, pementasan itu akan dibina dalam alam sama dengan tema kasih sayang keluarga.

“Pada tahun 2020, saya menunjukkan kepada Yusof Bakar satu gambar yang memenangi anugerah World Press yang memaparkan dua remaja perempuan dalam keadaan koma akibat Sindrom Resignasi dan meminta beliau menulis sebuah karya mengenainya.

"Tiga pementasan ini akan dibina di atas alam yang sama dengan tema kasih sayang keluarga, serta tema lain yang berkaitan seperti perubahan iklim dan kemunculan AI,” ujarnya yang turut bertindak sebagai pengarah trilogi ini.

Menerusi tagline ‘Bumi Itu Neraka’ premisnya mudah di mana apabila bumi menjadi seperti neraka, manusia mula beralih ke Bulan.

Christopher Ling (kanan), Yusof Bakar dan barisan pelakon Trilogi Bulan | FOTO: KLPAC

Manusia mengharapkan Bulan akan mampu mengembalikan kegemilangan tamadun manusia. Namun, manusia dengan sifat tamak dan nafsu halobanya, akan terus bertindak seperti dirinya dan keturunannya. Mampukah Bulan menjadi syurga baharu manusia? Ataupun Bulan juga akan menerima nasib yang sama seperti Bumi?

Sempadan teater

Pementasan fiksyen sains adalah sesuatu yang jarang di Malaysia, apatah lagi dalam bahasa Melayu. Mereka yang diberi tugas untuk menghidupkan trilogi yang bercita-cita tinggi itu adalah pelakon baharu yang terdiri daripada Nik Waheeda, Hazzy Alzeeq, Sunio Rushairi dan Aidil Rosli.

Bintang sedang meningkat naik ini juga pernah berlakon dalam dua produksi awal Ling iaitu Saccharine dan Perhiasan Kaca.

Tidak hanya itu, Ling juga sekali lagi bekerjasama dengan sinografer Shahrul Skye untuk mencipta dunia yang sepenuhnya dengan pendekatan minimalis tetapi tetap menawan, selain menghasilkan magis muzik bersama komposer dan pereka bunyi Kirthana Kuhendran.

Trilogi Bulan menjanjikan pengalaman tontonan luar biasa | FOTO: KLPAC

Pementasan ini merupakan satu langkah kecil untuk menolak sempadan teater dan mempelbagaikan persembahan teater di Kuala Lumpur dan ia sememangnya telah mencapai misinya.

Tiket untuk pementasan ini dijual dengan RM50 (biasa) dan RM40 (pelajar, warga emas serta orang kurang upaya). Kumpulan pelajar juga boleh mendapatkan satu tiket percuma dengan setiap pembelian 10 tiket. Pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web www.cloudjoi.com- 7KLIK  

ARTIKEL LAIN:

[KREDIT: KLPAC]

Post a Comment

0 Comments