Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Angkat tema Triple Bill of Hilang, projek teater Emotif 7.0 tampilkan tiga naskhah meruntun jiwa

| FOTO: Fakulti Teater Aswara  


FAKULTI Teater Akademi Budaya dan Warisan Kebangsaaan (Aswara) kembali menampilkan projek pementasan teater Emotif 7.0 yang akan berlangsung di Blackbox Aswara pada 27 hingga 29 September ini.

Menurut penyelaras projek, Shahrul Mizad Asari, projek tersebut merupakan aktiviti wajib yang dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar di fakulti berkenaan.

"Projek teater ini akan memberi pendedahan kepada para pelajar dalam mengendalikan sebuah produksi sama ada sebagai pelakon, pengarah ataupun tenaga kerja.

"Ia juga bertujuan untuk melahirkan idea baharu dalam persembahan teater yang melibatkan gabungan kerjasama antara generasi muda dan lama, pensyarah dan pelajar Fakulti Teater Aswara," katanya.

Emotif 7.0 yang melibatkan seramai 30 orang pelajar itu mengangkat tema 'Triple Bill of Hilang' menerusi tiga buah naskhah baharu yang menarik berjudul Sedu, Rose Untuk Ros dan C.I.C.U.

Tema tersebut akan mengikat tiga naskhah terbabit ke dalam satu jalur penceritaan mengenai kehilangan dan cebisan-cebisan pengalaman yang lahir daripada rasa tersebut. Sebuah pengalaman peribadi yang sukar, tetapi perlu ditempuhi setiap orang.

Teater Sedu, C.I.C.U dan Rose Untuk Ros adalah cebisan-cebisan pengalaman yang lahir daripada sebuah rasa kehilangan.

| FOTO: Fakulti Teater Aswara  


Terdahulu Projek Teater Emotif yang mula diperkenalkan pada tahun 2009 itu pernah tampil dengan enam edisi menerusi sederetan karya menarik.

Antaranya ialah Lost arahan Shariful Akma, Kelam..bu (Eijat Asari), B1N2 (Marlia Musa), Maruah Kemerdekaan (Ahmad Yatim), Love You Forever (Dr Wong Oi Min), Bercerai Kasih Menolak Sayang (Rohani Yousoff), LIF- E (Adika Zainal), If (Grace Yeoh), Midea (Marina Mergou), Gelanggang (Kamarul Baisah), Kelam (Khairunazwan) dan Muzikal O (Sherry Abdullah).

Diikuti Penantian (Engku Nor Zalifah), Perspektif (Naque Ariffin), Bila Malam Bertambah Malam (K’ma Abdullah), Berkali-kali Terbelah-belah (Dr Rosminah Tahir), Reminisences (Dr Wong Oi Min), Baba (Ifiez Putra, Ijat Asari dan Tania Zainal) serta Antologi IC (Fasyaly Fadzly).

Tidak ketinggalan pementasan teater biografi Tiga Jari Dari Tuhan (Dr Rosminah Tahir), Concipes, Robot Yang Tiba-Tiba Muncul dan Rumah Septuanegarian.

Pada edisi Emotif 7.0 ini, tiga lagi naskhah berimpak yang bakal dipentaskan dengan penglibatan bakat-bakat hebat yang akan berkongsi kreativiti mereka dalam berkarya.


| FOTO: Fakulti Teater Aswara  

Rose Untuk Ros
Idea Asal & Arahan: Syariful Akma Abdullah
Penulis: Roziah Adama
Pelakon: Mohammad Aiman Shah Nurhisyam, Muhammad Aiman Norizam dan Nur Suhaila Ramlan

Sinopsis
Mengisahkan Haikal, Arju dan Nina yang merupakan graduan dari Aswara. Mereka ingin mementaskan teater berjudul Rose untuk Ros, tetapi timbul konflik antara Arju dan Nina semasa sesi latihan lakonan menyebabkan Nina ingin menarik diri. Ketika itu Haikal menegur dan mengingatkan mereka tentang pesanan serta memori bersama Cik Ros. Akhirnya Nina dan Arju sedar kesilapan mereka dan bersemangat meneruskan pementasan.


| FOTO: Fakulti Teater Aswara  

Sedu
Idea Asal & Arahan: Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin
Penulis: Kolaborasi 
Pelakon: Ammar Aqashah Syamrul Nizam, Wan Hanis Marissa Yusoff Hamdan dan Mohamad Eunousarief Madeonus Yusdi Madeonus 

Sinopsis
Sebuah rungkaian rasa orang-orang yang sedang menghadapi kehilangan, kerinduan dan perasaan cinta pada seseorang yang sudah tiada. Pencarian kebahagiaan dan kesedihan yang saling bergandingan tangan, semuanya dalam harapan melepaskan diri daripada terus berduka cita. Penerokaan melibatkan pelbagai rasa tetapi hanya yang kuat boleh melaluinya.


| FOTO: Fakulti Teater Aswara  


C.I.C.U
Idea Asal: Engku Nur Zalifah Tengku Rased
Arahan: Khalid Akmal Sapran
Penulis: Azrie Izham Hamzah
Pelakon: Engku Nor Zalifah Engku Abd Rased, Mohd Marzuki Noh dan Muhammad Nafiz Mohd Anuar

Sinopsis
Mawar melalui sebuah perjalanan panjang semasa dia dalam keadaan koma. Keadaan itu disebabkan jantung dan paru-parunya berada pada tahap kritikal. Pakar bedah jantung dan bius mengambil keputusan Mawar diintubasi supaya pernafasannya kembali normal. Pada waktu inilah Mawar melangkaui masa yang sangat panjang. Dalam perjalanan sepi itu, Mawar tidak menyangka dapat berjumpa bapanya yang sudah meninggal dunia lima tahun lalu. Bapa Mawar mendekatinya dan meletakkan sekeping kertas di tangan Mawar lalu pergi. Jantung Mawar hampir terhenti seketika.


Jangan ketinggalan untuk menonton dan menikmati siri pementasan Emotif 7.0 ini di Blackbox Aswara pada 27 hingga 29 September ini dengan tiket masuk berharga RM30. 
- 7KLIK 


ARTIKEL LAIN:
[KREDIT: Fakulti Teater Aswara - Terima Kasih Shahrul Mizad Asari]

Post a Comment

0 Comments