SELEPAS tidak memperbaharui kontrak aktiviti solo bersama YG Entertainment, kesemua anggota Blackpink rancak dengan pelbagai aktiviti termasuk 'comeback' solo masing-masing yang mencuri perhatian ramai.
Bukan hanya menjadi perhatian sebagai kumpulan Blackpink, tetapi setiap daripada mereka mempunyai bakat dan karisma tersendiri sekali gus membolehkan Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa sukses dalam aktiviti solo mereka.
Jennie
Jennie, 28, kini dalam persiapan akhir sebelum tampil dengan debut album solonya yang dijangka bakal rilis pada awal Oktober. Malah dalam tempoh setahun ini, Jennie kerap berulang-alik ke Amerika Syarikat (AS) untuk tujuan tersebut.
Baru-baru ini, pelantun lagu Solo dan You & Me menerusi agensinya, Odd Atelier Entertainment (OA) turut mengumumkan kerjasama dengan menandatangani kontrak sebagai artis solo bersama rekod label terkemuka AS iaitu Columbia Records yang juga merupakan anak syarikat Sony Music Entertainment.
Aura Jennie begitu menyerlah apabila melihat kepada respon dan sambutan yang diberikan peminat, setiap kali bintang sensasi itu menampilkan 'teaser' atau 'spoiler' kreatif mengenai karya terbaharunya itu.
Keterujaan tersebut juga adalah kerana peminat tahu kemampuan luar biasa Jennie dalam muzik dan sikap 'perfectionist' dalam mengerjakan karya kreatif. Tidak hairanlah dia mengambil masa yang agak lama sebelum merilis album solonya ini yang dipercayai diatur dengan perancangan penuh teliti.
Terdahulu, Jennie yang baru melancarkan laman web rasmi kegiatan solonya itu tampil dengan beberapa projek kolaborasi iaitu bersama The Weekend dan Lily-Rose Depp menerusi lagu One of the Girls, Matt Champion (Slow Motion) dan Zico (Spot!).
Dalam masa sama, selebriti yang turut dikenali dengan nama Jennie Ruby Jane itu turut tampil dalam program variety TV seperti Apartment 404 dan My Name Is Gabriel.
Selain itu, jadualnya juga dipenuhi dengan aktiviti pelbagai kempen jenama mewah antarabangsa yang diwakilinya termasuk Chanel, Gentle Monster, Adidas, Calvin Klein, Hera Beauty, Jacquemus dan banyak lagi.
Jisoo
Sementara itu, Jisoo dalam aktiviti solonya memperlihatkan kecenderungan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan apabila baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Omniscient Readers, sebuah karya adaptasi daripada novel web dan drama berjudul Influenza.
Malah terbaharu, bintang berusia 29 tahun yang pernah tampil sebagai bintang utama drama Snowdrop (2021) itu turut ditawarkan untuk membintangi drama Monthly Boyfriend. Pun begitu ia belum diputuskan dan masih dalam pertimbangan agensinya, Blissoo.
Sebagaimana rakan-rakannya, penyanyi lagu Flower itu juga mempunyai perancangan untuk mengerjakan karya solonya. Namun sehingga kini, dia belum berkongsi lebih lanjut mengenai projek tersebut kerana terikat dengan aktiviti lain.
Sebagaimana rakan-rakannya, penyanyi lagu Flower itu juga mempunyai perancangan untuk mengerjakan karya solonya. Namun sehingga kini, dia belum berkongsi lebih lanjut mengenai projek tersebut kerana terikat dengan aktiviti lain.
Tidak hanya itu, pemilik nama sebenar Kim Jisoo itu juga sibuk dengan aktiviti melibatkan tugasannya sebagai duta pelbagai jenama mewah antarabangsa seperti Dior, Cartier, Tommy Hilfiger dan lain-lain.
Rosé
Turut dinantikan adalah single atau album solo Rosé yang kini dalam proses akhir pembikinan. Lebih mengujakan, bintang berusia 27 tahun itu baru sahaja mengumumkan dirinya rasmi menandatangani kontrak eksklusif aktiviti solo untuk pasaran global bersama label terkenal, Atlantic Records, anak syarikat Warner Music Group yang berpangkalan di New York pada Jumaat.
Pengumuman tersebut sekali gus memberi bayangan 'comeback' solo Rosé bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Berita terbaharu itu pastinya menggembirakan para peminat penyanyi bersuara emas ini yang telah lama menantikan karya terbaharu daripadanya.
Sebagaimana Jennie, pelantun lagu On The Ground dan Gone itu juga berulang-alik ke AS menyiapkan album tersebut sejak beberapa bulan lalu. Dikenali sebagai seorang cukup teliti dan mempunyai citarasa tinggi dalam muzik, Rosé pastinya mahu menyajikan hanya yang terbaik buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
Terdahulu bintang asal Australia itu tampil dengan lagu cover Viva la Vida yang merupakan lagu OST drama Pachinko musim kedua yang disiarkan di Apple TV.
Biarpun tidak menunjukkan minat dalam lakonan, tetapi Rosé, sentiasa aktif dan sibuk dengan pelbagai acara serta kempen jenama mewah antarabangsa menyebabkan dia jarang berada di Korea Selatan.
Lisa
Sementara Lisa pula telahpun tampil dengan dua single solo iaitu Rockstar pada Jun lalu dan kolaborasinya bersama penyanyi popular kelahiran Sepanyol, Rosalia menerusi New Woman yang baru sahaja rilis pada Ogos.
Dalam masa terdekat, bintang asal Thailand itu juga bakal tampil dengan single solo ketiganya yang juga merupakan kolaborasi dengan seorang lagi penyanyi popular.
Difahamkan ia kemudiannya akan disusuli dengan dua lagi single selepas itu yang akan diumumkan secara berperingkat oleh agensi miliknya, LLOUD dengan kerjasama RCA Records.
Bintang 27 tahun yang baru sahaja memenangi Artis K-Pop Terbaik di MTV Video Music Awards 2024 itu juga mengumumkan bakal mengadakan sesi bertemu peminat di beberapa negara yang dimulai dengan Singapura, Thailand, Indonesia, Taiwan dan Hong Kong pada November ini.
Pada awal tahun depan, debut Lisa dalam lakonan menerusi siri The White Lotus musim ketiga bakal menemui penonton di saluran HBO.
Comeback Blackpink
Dalam kerancakan kesemua anggota Blackpink itu mengatur kerjaya solo, YG Entertainment turut mengumumkan 'comeback' mereka dalam kumpulan pula.
Menerusi pengumuman tersebut, Blackpink yang menyambut ulang tahun penubuhan kelapan pada 8 Ogos lalu bakal kembali dengan album terbaharu dan juga merupakan album penuh ketiga mereka pada 2025.
Ia akan disusuli dengan konsert mega jelajah dunia yang juga akan bermula pada tahun depan dan difahamkan akan melibatkan lebih banyak lokasi serta negara berbanding sebelum ini.
YG Entertainment membuat pengumuman tersebut bersempena kejayaan muzik video nyanyian Blackpink, How You Like That yang mencapai 1.7 bilion tontonan baru-baru ini.
"Pada tahun 2025, Blackpink akan membuat comeback penuh sebagai kumpulan dan melawat peminat mereka dalam konsert jelajah dunia," ujarnya.
Justeru, peminat Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa harus bersedia bukan sahaja untuk aktiviti solo mereka, tetapi juga 'comeback' penuh Blackpink sebagai kumpulan yang kali terakhir muncul dengan album Born Pink pada 2022.
Tahun 2025 bakal menyaksikan kalendar seni mereka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti baik secara solo mahupun berkumpulan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
TONTON VIDEO PILIHAN
0 Comments