PENDAKWAH bebas, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Umah (PU) Azman dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Azman, 43, didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ketika kejadian berlaku dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noridah Adam selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes
Menurutnya, mahkamah juga mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap Azman.
"Tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tertuduh selesai menjalani hukuman ditetapkan.
Terdahulu pada Disember 2023, Azman diperintah membela diri atas dua pertuduhan tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang pada 20 Februari 2022 serta 29 Jun tahun yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan Azman menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 24 tahun dan dua sebatan, serta-merta.
Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh telah ditolak oleh hakim kerana tiada keadaan khas dikemukakan oleh pembelaan kepada mahkamah. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- kes-rogol-dai-syed-dihukum-penjara-10
- tanah-jerlus-di-jalan-masjid-india
- yasin-sulaiman-dipenjara-seumur-hidup
[KREDIT BERITA: Awani, Sinar Harian, Berita Harian]
0 Comments