Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Unik sebagai pusat beli belah komuniti kreatif, GMBB kini rasmi dilancarkan


PUSAT beli-belah Komuniti Kreatif GMBB, hab kreatif yang semakin berkembang di Kuala Lumpur kini rasmi dilancarkan pada Khamis lalu.

Pelancaran yang disambut meriah dengan penuh budaya, kepelbagaian dan semangat kebersamaan Malaysia di ruang acara Utama GMBB iaitu The Grey Box telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Menurutnya, GMBB menampakkan bagaimana kerjasama strategik antara inisiatif Kerajaan dan perusahaan swasta boleh mempertingkatkan suasana budaya Kuala Lumpur dan sektor pelancongan.

"Perkembangan ini menunjukkan kesan positif dalam memupuk bakat kreatif tempatan dan mewujudkan ruang komuniti yang meriah.

"GMBB berfungsi sebagai model praktikal untuk inisiatif-inisiatif seumpamanya yang bertujuan memperkaya landskap budaya bandar kita dan menarik para pengunjung yang pelbagai," katanya.


Acara perasmian itu turut disaksikan oleh Pengarah GMBB, Ahmad Zul-Qarnain Ibrahim; Pengurus Besar GMBB, Lim Ying Hui; dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad.

GMBB pada awal penubuhannya dibayangkan sebagai pusat borong fesyen, tetapi telah berubah menjadi hab kreatif apabila pengasas-pengasasnya menyedari betapa perlunya ruang kreatif di Kuala Lumpur yang sedang berkembang pesat ini.

Perubahan tersebut dipengaruhi oleh keterujaan mereka terhadap tempat-tempat seni lain yang berjaya di luar negara, seperti 798 Art Zone di Beijing dan PMQ (Hong Kong), selain sedar akan kepentingan ruang fizikal untuk para kreatif, artis, dan artisan tempatan agar dapat berkembang maju di Malaysia.

Dari Sekecil Benih ke Sebesar Rimba

Seperti benih yang disemai di tanah yang subur, begitu juga peranan GMBB untuk memupuk bakat-bakat tempatan dalam ekosistem dinamik di mana para artis, artisan dan kreatif berlainan latar belakang, bakat dan pengalaman boleh berkumpul, berkolaborasi dan membantu merangsang lagi ekonomi kreatif dan budaya Malaysia.

Walaupun berdepan cabaran awal sebagai pendatang baharu dalam lapangan seni, GMBB tetap memulakan perjalanan mereka berlandaskan visi utuh.


Pengurus Besar GMBB, Lim Ying Hui, menjelaskan, inspirasi awal yang diambil dari pusat kreatif global hingga realiti yang disemai di GMBB, pihaknya telah melalui perjalanan luar biasa dalam mencorak lanskap kreatif dan budaya Malaysia.

"Hari demi hari, saya bersyukur kerana dapat menyaksikan kuasa transformasi kreativiti dan komuniti diperkasakan secara langsung.

"Bersama kita membantu memperkembangkan ekosistem kreatif dan budaya Malaysia di mana setiap suara pencipta bersatu dalam memperkayakan budaya kita dan menjalin hubungan bermakna," ujarnya.

GMBB hari ini berdiri sebagai sebuah hab unggul yang telah menempatkan lebih daripada 100 para artis, artisan dan kreatif di ruang sembilan tingkat berkeluasan kira-kira 110,000 kaki persegi.

Antara komuniti yang mengambil bahagian termasuk Five Arts Centre iaitu sebuah kolektif dinamik artis, aktivis dan penerbit Malaysia yang terkenal dengan persembahan eksperimental dan bermakna dalam teater, tarian, muzik.

Diikuti Fusion Wayang Kulit, sebuah galeri yang dikendalikan oleh pemenang anugerah yang berdedikasi untuk mengembalikan semula kegemilangan seni tradisional wayang kulit Malaysia melalui budaya pop.

Tidak ketinggalan Gangsapura iaitu sebuah pusat Gamelan Melayu kontemporari yang bergiat aktif menghidupkan seni muzik tradisional, Museum of Picture Book Art yang mempamerkan 80 peratus buku bergambar tempatan dan beberapa studio artis kelainan upaya.

Selain itu, terdapat juga banyak galeri unik, studio seni dan kafe menarik, siap sedia untuk diterokai di GMBB.

Kekerapan penganjuran pelbagai kreativiti dan pameran pula akan memastikan setiap kunjungan ke GMBB itu dapat memberikan pengalaman baharu.


Berkongsi mengenai hala tuju, Lim berkata, seiring dengan perkembangan GMBB, semangat dan kepelbagaian komuniti merupakan aspek paling penting kerana ia memberi kesan kepada hab komuniti kreatif itu bagi mencapai visi untuk memperluaskan lagi komuniti kreatif.

"Fokus kami adalah untuk mengangkat nilai yang dibawa oleh GMBB dalam menawarkan pengalaman pelancongan di Malaysia yang unik serta sumbangan kepada ekonomi kreatif dan budaya tempatan yang sentiasa wujud untuk segenap lapisan masyarakat di Malaysia,” tegasnya.

GMBB adalah sebuah tempat di mana semua komuniti boleh berkumpul dan menerokai kemeriahan suasana kreatif dan budaya Malaysia. Pusat beli belah unik itu mengalu-alukan orang ramai untuk menghadiri pelbagai acara dan aktiviti menarik yang bakal berlangsug di situ sepanjang tahun ini.

Antaranya ialah Kuala Lumpur Literature & Art Fair (KLLAF) yang dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos hingga 16 September, Fatal Attractions: Sesi perkongsian dan lawatan pameran oleh jurugambar Chien C. Lee (31 Ogos) dan Rasa Sayang - Kempen Hari Malaysia (14-16 September).

Diikuti Telur Pecah 4.0 - Pameran Seni kontemporari (10 Oktober hingga 10 November), Immersio 2024 - Pameran Seni Media Baharu 11-22 November) dan Kuala Lumpur Illustration Fair 2025 (1-4 Mei 2025).

Rakan Strategik

Selain daripada acara-acara ini, GMBB sedang giat bekerjasama dengan institusi-institusi tempatan terutamanya Balai Seni Negara menerusi penyediaan ruang untuk memberi sokongan kepada artis-artis yang terlibat dalam program Balai Seni Negara.

Pembangunan dan promosi bakat Malaysia kepada dunia adalah fokus utama yang akan terus berkembang untuk tahun-tahun mendatang, selain hasrat untuk turut serta dan menyumbang kepada percambahan itu.

Tidak hanya itu, GMBB juga bekerjasama dengan Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM dan Jabatan Seni Halus, Aswara dalam menganjurkan pameran akhir tahun pelajar-pelajar mereka.

Kerancakan suasana di hab tersebut dipertingkatkan lagi melalui kerjasama dengan kolektif pengarkiban Gerimis (yang aktif menerbitkan kandungan berkenaan Orang Asli) serta Borneo Laboratory dan HAUS KCH (yang berpangkalan di Sarawak).


Bagi memantapkan lagi usahasama tersebut, GMBB juga secara aktif menyokong inisiatif Think City Creative KL, berkongsi cita-cita untuk mengubah Pusat Bandar Kuala Lumpur menjadi sebuah destinasi yang penuh meriah dengan kreatif dan budaya.

Sepadan dengan slogannya, 'More Together', GMBB menekankan kolaborasi dalam merancakan lagi ekosistem seni. Permulaan sederhana itu mencerminkan visi yang lebih besar untuk menjadi titik tumpuan seni kreatif dan budaya Malaysia, serta menggalakkan ekonomi seni kreatif dan budaya yang mampan untuk negara.

Ini sejajar secara strategiknya dengan matlamat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sendiri iaitu untuk menyokong pertumbuhan mampan dengan memupuk kreativiti, inovasi dan kepelbagaian budaya yang akhirnya akan menyumbang kepada ekonomi kreatif dan budaya Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[KREDIT FOTO: GMBB - Terima Kasih Dawn Loong]

Post a Comment

0 Comments