RATU Rock negara, Ella, yang baru sahaja selesai membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 9 dan 11 Ogos lalu bakal terbang ke Kota Singa pula bagi menjayakan rencana siri konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia (Singapura) di The Star Theatre, pada 12 Oktober depan.
Konsert dua hari Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia di Plenary Hall, KLCC yang dibawakan oleh Hitman Solutions dengan kolaborasi RockQueen berjaya mengumpulkan 6,000 peminat menyaksikan penyanyi itu membuat persembahan dengan lebih 30 buah lagu.
Memberi kelainan konsert kali ini, Ella membawakan lagu-lagu klasik untuk peminat bersama artis undangan Haziq Rosebi pada hari pertama dan Dayang Nurfaizah untuk hari kedua.
Demi menyahut permintaan daripada peminat-peminat kesayangan Ella di Singapura yang ingin merasai sendiri siri konsert terbaharu Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia, pihak penganjur juga berhasrat memberikan yang terbaik buat semua bakal penonton yang hadir kelak.
Mengakui teruja untuk bertemu peminat di Singapura, Ella berharap agar penampilan dalam konsert tersebut akan mengubat rindu peminat yang ingin menyaksikan persemmbahannya di sana.
“Saya ingin ke Singapura lagi bagi melepas rindu bersama semua peminat di sana sebagai tanda penghargaan di atas sokongan mereka yang tidak berbelah bagi setelah sekian lama," ujarnya.
Siri konsert terdahulu, Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Singapura) telah mendapat sambutan luar biasa dengan jualan tiket yang ‘sold-out’ pada kedua-dua malam konsert tersebut.
Masih mengekalkan khidmat pengarah muzik yang sama iaitu Datuk Acis dengan barisan pemuzik profesionalnya, Ella juga turut mengekalkan tema solidariti di setiap konsertnya, katanya,
“Malam konsert nanti bertemakan rona hitam, putih, merah dan hijau tanda sokongan kita yang tidak henti-henti buat rakyat Palestin,” kata Ella.
Persembahan Unik
Peminat Singapura yang bakal menyaksikan konsert tersebut akan disajikan dengan sebuah malam gilang-gemilang dengan susunan lagu-lagu ‘hits’ nyanyian penyanyi rock legendaris itu sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.
Ditambah dengan ekspresi unik seni persembahan yang hebat di samping alunan rangkaian paduan muzik dari band dan juga orkestra yang pastinya menjanjikan pengalaman yang berbeza.
“Saya bersyukur di atas izin-NYA dengan nikmat kesihatan dan masih berpeluang menghiburkan ramai orang, gabungan band rock dan orkestra memerlukan banyak usaha dan kerja yang teliti.
“Insya-ALLAH saya akan berikan yang terbaik dan jangan lupa dengan janji kita di konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia (Singapura) pada 12 Oktober nanti di The Star Theatre,” ungkapnya.
Selaku penganjur bersama, Pengasas & Ketua Pengarah Eksekutif, Hitman Group, Rohit Rampal, berkata, Ella bukan sahaja Ratu Rock tetapi dia juga Ratu ‘Sold-Out’.
"Kami sangat terharu serta bersyukur melihat peminat-peminat Ella yang tidak pernah jemu-jemu menyaksikan persembahannya secara langsung.
“Konsert ini sendiri tercipta di atas permintaannya untuk lebih intim bersama peminat-peminatnya, dan lebih ekslusif dengan konsep gabungan rock dan orkestra.
“Kami menjanjikan pengalaman yang istimewa dari segi rekaan pentas, penataan cahaya dan sistem bunyi yang canggih bagi kepuasan semua yang menontonnya," katanya yang sentiasa komited dalam memberikan pengalaman baharu dan unik kepada semua peminat muzik. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments