Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tangani kontroversi dengan bijak



[Nota Kedai Kopi Bandara]

KALA tenang menghirup latte panas di kedai kopi, saya tiba-tiba terganggu dengan sederetan cerita atau gosip panas selebriti melintasi media sosial.

Bukan niat untuk membandingkan artis dulu dan sekarang, tetapi hakikatnya pendekatan tidak bijak segelintir artis generasi kini dalam menangani gosip atau kontroversi melanda buat kita geleng kepala.

Berbeza dengan kebanyakan artis senior yang selalunya lebih profesional, malah sedia memberikan kerjasama kepada pihak media dan tidak lari daripada permasalahan yang berlaku.

Salah seorang daripadanya adalah Datuk Yusof Haslam. (Hanya sekadar contoh kerana saya menjadi saksi mata untuk beberapa situasi yang saya sebutkan). Jujurnya saya sangat kagum dengan sikap toleransi dan pendekatannya dalam menangani kontroversi berkait keluarganya baru-baru ini.

Beberapa kali saya melihat dengan mata saya sendiri bagaimana penerbit dan pengarah disegani itu tenang memberi kerjasama, malah bersikap baik saat didekati pihak media yang ingin mendapatkan komen atau penjelasannya berkait beberapa isu melibatkan rumah tangga anaknya sebelum ini (dan kembali hangat diperkatakan baru-baru ini).

Meski ada ketika begitu sulit untuk beliau memberikan komen terhadap pertanyaan-pertanyaan yang dilontarkan, Datuk Yusof tetap memberikan kerjasama kerana sebagai anak seni berpengalaman, beliau tahu dan faham pihak media hanya menjalankan tugas mereka.

Sedikitpun beliau tidak memperlekehkan kerja media atau mana-mana pihak berkaitan. Tidak kira apapun isunya. Saya sangat kagum dan hormati sikap profesionalnya itu.

Saya masih ingat pada tahun lalu ketika kontroversi rumah tangga anaknya mula hangat diperkatakan, Datuk Yusof tidak pernah menolak ditemubual media meski beliau boleh sahaja berbuat demikian.

Biarpun sudah beberapa kali memberi kenyataan ketika ditemui dalam acara berbeza yang kebetulannya dihadirinya dalam minggu sama, beliau tetap juga melayan (dengan baik).

Situasinya cukup berbeza dengan artis generasi baharu (Ya tidak semua, tetapi kebanyakannya) yang dilihat gemar mengambil pendekatan sebaliknya dengan melarikan diri dan menjadikan platform media sosial sebagai pengantara apabila ada isu melanda.

Walhal ada kala isu panas atau kontroversi yang terjadi dicetuskan mereka sendiri gara-gara luahan di media sosial sehingga membuat kekacauan di seluruh jagat raya.

Apabila isu terbabit hangat diperkatakan netizen dan media mahu mendapatkan kenyataan, media dituduh mahu memperbesar cerita. Sedangkan kenyataan daripada tuan punya badan diperlukan sebagai penjelasan sekali gus melengkapkan sesebuah artikel yang ditulis atau dilaporkan.

Selalu, terlalu selalu.

Pada saya, kalau sudah berumah di tepi pantai, seharusnya kita perlu sentiasa bersedia dan bersiap-siaga dengan segala jangkaan atau risiko yang bakal didepani. Berani adalah asasnya, pendekatan pula terpulang pada kebijaksaan dimiliki. Begitulah 'latte'nya.   

Jadi, kesimpulan yang tiada kesimpulannya.

Harapan saya agar nota ini tidak dibaca dalam nada atau dengan persepsi negatif kerana mesejnya sedikitpun tidak terarah ke situ. Tidak rugi untuk bersikap baik dan saling menghormati. Di manapun, dengan siapa pun. - 7KLIK

~ Nota by Sang Latte ~

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments