Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tampilkan lebih 100 lukisan eksklusif aksi watak, Pameran Animasi ‘Jujutsu Kaisen’ kini di Malaysia

 Dari Kiri: Ms. Yvonne (AniManGaki), Ms. Wing Yeung (MediaLink), Ms. Eelynn (Moments Experiential)

PEMINAT siri anime terkenal, Jujutsu Kaisen di Malaysia bakal disajikan dengan pengalaman istimewa apabila Animation ‘Jujutsu Kaisen’ Exhibition (Pameran Animasi Jujutsu Kaisen) yang berlangsung di Fahrenheit88, Bukit Bintang pada 16 Ogos sehingga 20 Oktober depan.

Pameran yang penuh mengasyikkan itu akan menampilkan lebih 100 pameran eksklusif diimport dari Jepun, menyerlahkan kemahiran artistik yang terdapat pada animasi Jujutsu Kaisen.

Pengunjung Pameran Animasi ‘Jujutsu Kaisen’ akan dibawa menyelusuri tengah bandar Tokyo seperti yang digambarkan di dalam anime, menerusi replika terperinci lokasi utama, patung bersaiz sebenar dan potongan karakter kegemaran, serta  gambaran eksklusif belakang tabir proses penghasilan.

Peminat juga akan mendapat peluang istimewa untuk merasai sendiri kesenian dan penceritaannya yang telah memikat jutaan peminat seluruh dunia.

Kupasan Pameran

Pameran Animasi ‘Jujutsu Kaisen’ di Malaysia mempamerkan empat bab utama berdasarkan siri tersebut, yang berjudul 'Cursed Womb Must Die', 'Small Fry and Reverse Retribution', 'Kyoto Sister School Goodwill Event', dan 'The Origin of Blind Obedience'.

Imbasan semula beberapa momen yang paling diingati dalam anime ini pasti akan membawa peminat kembali ke permulaan, untuk merasai semula keseronokan, kesedihan, dan ketegangan yang pernah dialami.

Antara bahagian dalam Pameran ‘Jujutsu Kaisen’ yang sering disebut-sebut adalah bahagian manuskrip animasi, yang memaparkan lebih 100 lukisan garisan aksi watak dan tetapan karakter utama.

Pelbagai butiran yang terperinci dalam manuskrip kertas itu pasti akan menarik perhatian peminat, yang boleh membuat mereka berhenti untuk mengagumi hasil kerja pencipta animasi ini.

Bahagian tersebut juga memaparkan temubual bersama beberapa ahli kumpulan animasi MAPPA, seperti pengarah berbangsa Korea, Park Sunghoo, yang berkongsi tafsirannya sendiri mengenai kisah anime itu. Pandangan tersebut juga akan memberikan peminat kefahaman lebih mendalam tentang penghasilan dan perjalanan kisah Jujutsu Kaisen.

Sebagai jawapan kepada maklum balas peminat, Pameran Animasi ‘Jujutsu Kaisen’ Malaysia menawarkan zon gambar istimewa seperti yang dipamerkan di pameran di Taiwan dan Hong Kong.

Zon-zon ini membenarkan peminat untuk melihat secara lebih dekat dan berinteraksi secara peribadi dengan model bersaiz sebenar 1:1 bagi watak-watak kesayangan seperti Gojo Satoru, Itadori Yuji, Sukuna, dan banyak lagi.

Peluang bergambar itu memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi secara dekat dengan karakter kegemaran, sekali gus merasai kehadiran mereka.

Tambahan pula, pameran tersebut mempamerkan pelbagai latar yang diilhamkan daripada babak ikonik dalam Jujutsu Kaisen, yang membolehkan peminat untuk menyelami sendiri dunia anime itu.

Penganjurannya juga bertujuan memberikan nafas buat babak-babak tersebut, di mana pengunjung juga dapat meneroka suasana penting dalam siri tersebut secara terperinci, sekali gus merasai suasana dan perasaan dalam momen istimewa itu secara langsung.

Cenderamata

Di hujung pengembaraan, pengunjung akan disambut dengan bahagian barangan pameran yang menawarkan pelbagai jenis cenderamata di kedai pameran.

Terdapat barangan eksklusif yang diimport khas dari Jepun serta pameran Taiwan dan Hong Kong yang hanya boleh didapati dari kedai pameran ini.



Tambahan pula, terdapat pelbagai produk pesanan eksklusif buat pameran Jujutsu Kaisen Malaysia seperti lanyard, poster premium, kad tiket edisi khas, dan alat tulis dan aksesori Prison Realm yang hangat di pasaran. Para peminat boleh membeli cenderamata dengan harga bermula dari RM9.90. 

Terdapat juga hidangan dan minuman lazat yang dicipta untuk mewakili karakter dalam Jujutsu Kaisen yang dihasilkan dengan kerjasama bersama Souled Out Café.

Ia menampilkan menu yang direka untuk mencerminkan beberapa watak ikonik Jujutsu Kaisen seperti Itadori Mango Mint, Nobara Sparkling Orange, Hanami Tempura Salad, Gojo Chicken Curry, Toge Yakitori Don, dan banyak lagi. Harga makanan dan minuman bermula dari RM10.

Antara sorotan utama dan item yang wajib dibeli ialah coklat Jari Sumpahan Sukuna yang dihasilkan bersama Chocolate Concierge. Koleksi coklat tersebut diilhamkan oleh dunia gelap dan misteri Jujutsu Kaisen, dengan setiap keping coklat dihasilkan dengan begitu terperinci, untuk menghasilkan jari sumpahan Sukuna dan kehadiran berkuasanya.

Pameran Animasi ‘Jujutsu Kaisen’ Malaysia dibawakan oleh pakar inovatif di Moments Experiential di bawah Colony Group. Acara itu juga adalah kolaborasi bersama Trendic dan Incubase Studio,  dan dilesenkan di bawah TOHO dan Medialink.

Acara menarik itu juga disokong oleh AniManGaki, yang memastikan pengalaman terbaik untuk semua pengunjung serta peminat-peminat tegar dan orang ramai.

Ketua Pegawai Strategik di Moments Experiential, Eelynn Kong berkata, pihaknya teruja untuk membawa pameran sebesar itu untuk siri popular ke  Malaysia buat pertama kalinya.

"Pasukan kami sudah bertungkus lumus untuk memperkenalkan harta intelek (HI) Jujutsu Kaisen di pasaran Malaysia, membolehkan peminat setia untuk merasai sendiri secara langsung.

“Kami ingin mencipta pengalaman yang tiada tandingan. Apatah lagi, kini kita hidup dalam era baharu di mana kreativiti boleh dirangsang dengan teknologi dan sedikit kemahiran untuk menghasilkan sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

"Tidak kira sama ada kami bekerjasama dengan HI besar seperti Jujutsu Kaisen atau jenama tempatan, pasukan kami melangkaui batasan konvensional untuk berhubung dengan generasi baharu,” ujarnya.

Dapatkan tiket untuk pameran tersebut menerusi laman web Ticket2u, Klook, dan Incutix. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

[FOTO: Terima Kasih Aisha]

Post a Comment

0 Comments