Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Shiha, Aya Naik Hantu kerana Pontianak 200KG

FOTO: Instagram Shiha Zikir & Aya Amiruddin

PERNAHKAH anda membayangkan Shiha Zikir dan pempengaruh media sosial yang sedang meningkat naik, Aya Amiruddin berduet dalam satu lagu?

Kolaborasi unik itu akhirnya tercapai menerusi lagu Naik Hantu, lagu runut bunyi filem Pontianak 200kg. Gabungan suara merdu Shiha dan rap energetik Aya dalam karya terbitan syarikat rakaman Alternate Record itu menarik perhatian ramai kerana keunikan yang ditampilkan.

Naik Hantu merupakan lagu genre Pop Rock hasil ciptaan Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, diinspirasikan daripada elemen seram dan jenaka untuk filem Pontianak 200kg yang bakal ditayangkan di pawagam tanah air pada 5 September ini.

Dengan lirik catchy tetapi seperti menyimpan sedikit misteri dan irama yang menular, lagu tersebut berhasil menciptakan atmosfera menyeramkan tetapi dalam masa sama menghiburkan.

Shiha mengakui sangat teruja dengan kolaborasi pertama kali bersama Aya menerusi single ketiganya bersama Alternate Records itu.

“Ini merupakan kali pertama saya berduet dengan Aya Amiruddin, dan sesi rakaman kami selesai dalam masa kurang dari dua jam.

“Lagu ini sangat unik dan mencabar, terutama dengan keperluan gelak sendiri dalam bahagian ‘ha ha ha’. Ia sangat fun dan bertambah menarik dengan kehadiran Aya yang ceria.

"Saya berharap lagu ini akan berjaya di AJL (Anugerah Juala Lagu) dan diterima baik oleh peminat di luar negara,” ujarnya.

Sementara itu Aya yang pertama kali tampil dengan single, meluahkan rasa syukur dengan rezeki yang diberikan.

Berkongsi pengalaman ketika sesi rakaman dan bekerjasama dengan komposer, Aya yang juga merupakans seorang pelakon mengakui kesulitannya mengimbangi rap dengan irama lagu. 

“Cabaran terbesar bagi saya adalah bahagian rap. Kadang-kadang, sukar untuk mengawal nafas dengan beat lagu. Nak kejar nafas, beat tinggal belakang. Nak kejar beat, nafas pulak tertinggal. 

"Apapun pengalaman rakaman di studio sangat seronok dan tidak ada tekanan. Mereka benar-benar membimbing saya sepanjang rakaman," katanya sambil tertawa.

Bintang utama 

Lagu Naik Hantu mengisahkan percintaan yang pada mulanya kelihatan tenang dan indah, tetapi lama-kelamaan menyedari ada keburukan pada pasangannya.

Single itu menyampaikan mesej bahawa kita tidak boleh terburu-buru dalam membuat kesimpulan dan harus menyelidik punca sebenar sesuatu kejadian.

Filem Pontianak 200kg bakal menemui penonton pada 5 September ini | FOTO: Alternate Records & Talents

Menurut komposer Omar K, keunikan Shiha Zikir dan Aya adalah kerana mereka berbakat bukan sahaja dalam nyanyian tetapi juga lakonan yang mana kelebihan ini menjadikan penyampaian dalam lagu lebih bagus.

"Mereka memahami jalan cerita dan boleh mengilai seperti dalam filem, membuatkan proses rakaman lebih mudah, dan riuh rendah dibuatnya,” katanya.

Menariknya, Aya juga memegang watak utama dalam filem Pontianak 200kg, sekali gus menambah lagi keistimewaan dan daya tarik lagu tersebut. 

“Saya masih setahun jagung dalam industri ini, dan dengan berada di tahap sekarang dapat memegang watak utama dalam filem Pontianak 200kg serta berpeluang menyanyikan lagu runut bunyi filem bersama penyanyi terkenal seperti Shiha sudah merupakan kejayaan terbesar bagi saya.

"Semua sokongan daripada peminat ialah anugerah terbesar yang diberikan-NYA kepada saya,” ungkapnya yang turut berharap single tersebut dapat membuka lebih banyak peluang dalam industri muzik.

Selain Aya filem Pontianak 200kg yang juga sekuel kepada Pontianak 100kg menampilkan barisan pelakon seperti Dottie, Ropie, Ziana Zain, Apich Lo, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, Maliababy, Shaf Naufas, dan ramai lagi. 

Single Naik Hantu boleh didengari melalui pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[KREDIT: Alternate Records & Talents]

Post a Comment

0 Comments