Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Selangor lancar kempen MedTravel di Indonesia


SUSULAN kejayaan MHExpo Surabaya pada Mei 2024, Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dengan kerjasama Tourism Selangor telah menganjurkan pameran pelancongan perubatan (MHExpo) Selangor Week 2024 pada 1 hingga 4 Ogos lalu di Tunjungan Plaza 6, Surabaya.

Sebagai perintis dalam industri pelancongan perubatan Malaysia, MHExpo Surabaya menampilkan 10 hospital terkemuka dari Selangor dan telah memperkenalkan kempen MedTravel Selangor, dengan mempromosikan slogan 'Liburan Sehat, Ya di Selangor Aja!' pada hari pertama acara itu berlangsung.

Terdapat 10 buah hospital telah menyertai pameran tersebut di mana ia terdiri daripada Avisena Specialist Hospital, KPJ Healthcare Berhad, Sunway Medical Centre, Kajang Putra Medical Centre, MSU Medical Centre, TopVision, Subang Jaya Medical Centre, Golden Horses Health Sanctuary, Alpha IVF dan AK Aeromedical Service.

Penyertaan dalam MHExpo itu menggariskan komitmen MHTC dan Tourism Selangor untuk mengetengahkan pelancongan perubatan, yang merupakan antara segmen pelancongan penting di negeri Selangor.

Selangor memiliki lebih 50 hospital dan pusat perubatan yang menawarkan perkhidmatan perubatan khusus, termasuk pemeriksaan kesihatan, obstetrik dan ginekologi, gastroenterologi, onkologi dan rawatan penyakit berjangkit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Dr. Mohamed Ali Abu Bakar, pihaknya berbesar hati dapat terus hadir di Indonesia, memberikan pilihan kepada rakyat Indonesia dalam mencari servis perubatan yang lebih dekat dan berpatutan.

"Rawatan yang paling biasa dilakukan oleh warga Indonesia di Malaysia ialah penjagaan kanser, ortopedik, gastroenterologi, oftalmologi, kardiologi dan pemeriksaan perubatan komprehensif.

“Servis perubatan di Malaysia mempunyai harga kompetitif, menjadikannya destinasi menarik untuk rakyat Indonesia yang mencari penjagaan kesihatan mampu milik tanpa menjejaskan kualiti.

"Melalui pameran ini, kami berhasrat untuk memastikan rakyat Indonesia boleh mendapatkan rawatan perubatan yang lengkap dan informatif,” ujarnya.



Pelancongan perubatan di Selangor telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa. Dengan kemasukan 64.49 juta pesakit dari negara luar dan 87.98 juta pelancong kesihatan direkodkan di seluruh Malaysia, negeri Selangor berada di antara tiga negeri teratas, dengan kemasukan 115,568 pelancong perubatan.

Pada tahun 2023, Selangor telah mencatatkan kemasukan pelancong dari Indonesia tertinggi dengan 168,116 pelawat dan sebanyak 103,448 pada tahun 2022, menandakan peningkatan sebanyak 62.5 peratus.

Hubungan Dua Hala

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dalam satu kenyataan berkata, hospital-hospital di Selangor dilengkapi dengan teknologi perubatan termaju dan dikendalikan oleh pakar yang berkelayakan tinggi.

"Komitmen kami untuk menyediakan pengalaman pelancongan perubatan yang luar biasa ini disokong dengan perkhidmatan yang terbaik dan layanan mesra kepada para pelancong perubatan.

“Selangor yakin pelancong Indonesia akan menerima layanan dan kemudahan terbaik semasa berkunjung ke Selangor.

"Dengan 354 penerbangan mingguan dari pelbagai destinasi di Indonesia ke Selangor, menawarkan sejumlah 63,857 tempat duduk sehala setiap minggu, aksesibiliti di negeri ini adalah sangat mudah untuk pelancong mendapatkan rawatan perubatan sambil menikmati percutian mereka di Selangor,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala melalui pelancongan perubatan dengan Republik Indonesia, Tourism Selangor telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Avisena Specialist Hospital, Golden Horses Health Sanctuary and KPJ Healthcare.

MoU itu menggariskan rangka kerja kerjasama untuk membangunkan pakej pelancongan perubatan dan menarik pelancong perubatan dari luar negara dan ejen pelancongan ke Selangor.

Malaysia telah lama menjadi destinasi pilihan warga Indonesia, baik untuk percutian mahupun rawatan perubatan. Dengan jarak yang dekat, budaya, bahasa dan citarasa yang hampir serupa, ditambah dengan Harga berpatutan, menjadikan Malaysia pilihan yang ideal untuk pelancongan perubatan.

Selangor khususnya menawarkan pelancong perubatan bukan sahaja daripada segi pelbagai kemudahan hospital bertaraf dunia tetapi juga tarikan pelancongan yang cantik dan menarik.  - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments