Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sambutan ulangtahun ke-8 amat bermakna, Blackpink terharu sokongan luar biasa peminat


Oleh: AILEEN ADAM

SETELAH hampir setahun sibuk dengan aktiviti solo masing-masing, kumpulan K-Pop sensasi, Blackpink baru-baru ini ini kembali berkumpul bagi meraikan ulangtahun kelapan penubuhan mereka di Seoul, Korea Selatan.

Bermula seawal pagi 8 Ogos lalu, Blackpink yang dianggotai oleh Jennie, 28; Jisoo, 29; Rosé, 27; dan Lisa, 27; melakukan siaran langsung di platform Weverse untuk menyapa para peminat mereka di seluruh dunia.

Siaran yang berlangsung santai dengan penampilan sederhana idol kesayangan ramai itu gamat dengan aksi dan keletah mereka yang teruja bercerita tentang perkembangan terkini masing-masing.

Menariknya, siaran langsung itu disaksikan lebih 2 juta penonton yang sememangnya sudah menjangkakan kumpulan popular itu akan mengadakan siaran langsung di platform tersebut setiap kali meraikan sambutan ulangtahun mereka.

Menurut Jennie, kesibukan sebelum ini telah menyebabkan mereka sukar untuk berkumpul bersama-sama, kecuali bertemu secara berasingan.


Keterujaan peminat mereka yang dikenali sebagai Blink berterusan apabila YG Entertainment menampilkan Blackpink dalam acara Our Area With Blink iaitu 'Fan Sign' bersama 88 peminat bertuah pada hari sama, 8 Ogos.

Pada sesi itu, Blackpink meluangkan masa bertemu peminat dengan lebih dekat di mana mereka yang terpilih berpeluang untuk beramah mesra dengan idol pujaan mereka itu pada waktu yang ditetapkan.

Menerusi beberapa foto dan video yang dikongsi di platform media sosial, keempat-empat anggota Blackpink itu dilihat ceria melayan karenah peminat mereka yang pelbagai ragam termasuk ada di antaranya yang tampil dengan permintaan-permintaan lucu dan mencuit hati.



Tidak berhenti setakat itu sahaja, Blackpink sekali lagi membuat penampilan istimewa pada acara tayangan perdana Blackpink World Tour [BornPink] in Cinemas di CGV Korea pada hari berikutnya, 9 Ogos.

Kemeriahan acara itu dikongsi menerusi beberapa siaran langsung yang dilakukan media tempatan sekali gus membolehkan peminat mereka di luar Korea Selatan turut mengikuti acara tersebut.

Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa tampil elegan dan klasik dengan persalinan serba hitam menuai perhatian lensa yang tidak henti-henti merakamkan potret terbaharu mereka.

Sokongan luar biasa

Biarpun sekian lama tidak tampil dengan produk atau karya terbaharu secara berkumpulan selepas kali terakhir muncul dalam konsert jelajah dunia 'Born Pink' yang menutup tirai di Korea Selatan pada September tahun lalu, peminat tetap memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kumpulan tersohor itu.

Kehadiran luar biasa peminat yang memenuhi segenap ruang acara tersebut membuktikan pengaruh Blackpink bukan main-main dan mereka berada di kelas yang tersendiri. 

Melihat kepada sambutan tersebut, keempat-empat anggota itu terlihat begitu terharu dan menyifatkan sambutan ulangtahun kelapan mereka itu cukup bermakna. Malah Jennie dan Jisoo hampir menitiskan air mata kerana begitu tersentuh dengan sokongan serta usaha ditunjukkan peminat yang bersusah-payah hadir meraikan mereka dengan pelbagai kejutan pada acara itu. 




Blackpink yang bernaung di bawah agensi YG Entertainment melakukan debut mereka pada 8 Ogos 2016, sebelum sukses dan meraih populariti luar biasa di seluruh dunia.

Dalam tempoh lapan tahun bersama, kumpulan itu tampil dengan dua album penuh berjudul The Album pada 2020 dan Born Pink (2022). Sebelum itu mereka terlebih dahulu meledak dengan single album yang memuatkan lagu-lagu seperti Boombayah, Whistle, Ddu-Du Ddu-Du, How You Like That, Stay dan banyak lagi.

Pada Disember tahun lalu, kumpulan yang telah meraih pelbagai pencapaian baik dalam mahu pun luar negara itu telah memperbaharui kontrak bersama YG Entertainment untuk aktiviti berkumpulan atas nama Blackpink.

Namun bagi aktiviti solo, masing-masing memilih haluan baharu dengan agensi sendiri yang dimulai Jennie menerusi Odd Atelier, Lisa (Lloud), Jisoo (Blissoo), manakala Rosé membuat pilihan berbeza dengan menyertai The Black Label.

Dalam perkembangan lain, YG Entertainment baru-baru ini telah mengesahkan Blackpink akan tampil dengan album penuh terbaharu mereka pada 2025, sekali gus bakal mengadakan konsert mega jelajah dunia mereka pada tahun sama. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


                                                         TONTON VIDEO PILIHAN

Post a Comment

0 Comments