Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Rosyam bakal buka kompleks beli belah tahun depan, sediakan ruang khas produk selebriti


SELEPAS membina jenama pasaraya ST Rosyam Mart yang kini terus berkembang dengan enam cawangan, pelakon dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor bakal melangkah setapak lagi dengan membuka kompleks beli-belah.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berkata, peringkat pelaksanaannya kini dalam proses akhir dan kompleks yang bakal dikenali sebagai ST Rosyam Mall itu dijangka beroperasi pada tahun hadapan.

"Penjenamaan ST Rosyam Mart kini semakin besar dan insya-ALLAH pada 2025, kita akan buka ST Rosyam Mall.

"Pembukaan kompleks membeli belah itu nanti akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk bersama kami.

"Bagaimanapun perinciannya masih belum boleh didedahkan dan tunggu sahaja tiba masanya nanti. Apa yang pasti barangan yang akan dijual di situ nanti berbeza dengan apa yang ada di ST Rosyam Mart," katanya.

Dalam pada itu, Rosyam yang ditemui di majlis sambutan ulang tahun kedua ST Rosyam Mart cawangan Sungai Buloh bau-baru ini turut berkongsi bakal membuka sebuah lagi cawangan baharu di Senawang, Negeri Sembilan pada 4 September depan.

"Alhamdulillah ST Rosyam Mart Sungai Buloh sudah masuk tahun kedua, terima kasih kepada semua pelanggan yang sentiasa menyokong dengan membeli barangan di pasaraya kami yang beroperasi 24 jam ini.

"Pada 4 September depan, sebuah lagi cawangan baharu akan dibuka di Senawang, Negeri Sembilan dan ia menjadi ST Rosyam Mart pertama di luar Lembah Klang dan ketujuh secara keseluruhannya.

"Kami juga dalam perancangan untuk membuka cawangan di Pahang dan kini dalam peringkat awal mencari lokasi sesuai. Menjelang 2027, kami menyasarkan untuk membuka 25 cawangan ST Rosyam Mart," ujarnya.

Perkenal Ruangan Produk Selebriti

Mengulas tentang ruangan khas Celebriti Corner yang diwujudkan dalam ST Rosyam Mart, pelakon KL Gangster itu berkata, ia adalah salah satu inisiatif pihaknya untuk membantu dan membuka peluang kepada rakan-rakan artis yang berniaga untuk menempatkan produk mereka di setiap cawangan pasaraya itu.

"Kalau dulu hanya beberapa orang selebriti sahaja yang meletakkan produk mereka di sini, tetapi sekarang semakin banyak terutamanya produk makanan.

"Ruangan Celebrity Corner ini memudahkan orang ramai untuk mencari produk-produk daripada selebriti yang terlibat. Cuma mereka kena rajin buat promosi di media sosial agar orang ramai tahu produk mereka ada dijual di sini," katanya.



Pun begitu, Rosyam menegaskan aspek kualiti tetap menjadi keutamaan dan setiap selebriti yang ingin menempatkan produk mereka di situ perlu mematuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan.

"Walaupun ada kelonggaran yang diberikan kepada golongan selebriti, tetapi kami masih menetapkan beberapa syarat dan kriteria untuk produk-produk yang ingin dijual di sini bagi memastikan ia mempunyai kualiti terbaik.

"Pihak kami akan menguji terlebih dahulu produk berkenaan sebelum dijual kepada pelanggan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, sekali gus menimbulkan masalah kepada kami dan pelbagai pihak.

“Kebiasaannya produk-produk yang ingin dijual akan ada sijil daripada MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) dan kalau ada logo Halal lebih bagus,” tegasnya.

Antara selebriti yang menempatkan produk mereka di Celebrity Corner ST Rosyam Mart ialah Diana Danielle, Datin Fouziah Gous, Noraniza Idris, Tyzo Xander, Ako Mustapha, Azza Elite, Wak Doyok dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Rosyam berkata, dia masih aktif berlakon meskipun sibuk menguruskan perniagaan. Terbaharu, drama lakonannya, X-Change kini sedang hangat disiarkan di saluran Astro pada setiap Jumaat.

"Selain drama siri, filem lakonan saya The Original Gangster yang diarahkan oleh Shamsul Yusof juga bakal menemui penonton tidak lama lagi.

"Sekarang saya sibuk di lokasi penggambaran filem terbaharu, Kluang Man dan berharap filem ini akan diterima baik penonton apabila ditayangkan nanti," akhirinya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:




Post a Comment

0 Comments