Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Pilot 'dua wajah' undang huru-hara seluruh jagat raya


SEJAK kebelakangan ini banyak filem menarik pelbagai genre dari produksi Korea yang masuk ke pawagam dan memberi lebih pilihan kepada penonton.

Salah satunya adalah filem komedi berjudul Pilot yang kini sedang hangat diperkatakan berikutan naskhahnya yang tersendiri dan menghiburkan.

Karya arahan Kim Han-Gyul itu juga sukses di Korea Selatan apabila meraih lebih 1 juta penonton dalam masa empat hari tayangannya yang bermula 31 Julai lalu.

Filem ini mengisahkan tentang Han Jung-woo lakonan Cho Jung-suk, seorang pilot yang hebat dan terkenal. Dia bukan sahaja menjadi sebutan di syarikat penerbangannya, tetapi turut popular di media sosial dan sering dijemput menghadiri temubual di stesen TV.

Reputasi dan populariti itu sedikit sebanyak membuatkan dirinya besar diri, malah sering mengabaikan tanggungjawab pada anak isteri dan keluarganya demi kerjaya itu.

Bagaimanapun, populariti yang dimiliki memakan diri apabila terseret dalam satu insiden yang mencemarkan namanya sehingga kehilangan kerja dalam sekelip mata. Bagai jatuh ditimpa tangga, isterinya pula meminta cerai kerana tidak mampu lagi bertahan dalam perkahwinan tersebut.   

Jung-woo gagal dalam pelbagai temuduga untuk mencari pekerjaan baharu kerana namanya telah disenarai hitam di seluruh syarikat penerbangan. Situasi itu memaksa dirinya merendahkan ego dan mengintai peluang di syarikat penerbangan lebih kecil. Namun peluang tersebut hanya terbuka untuk wanita.

Di sinilah huru-haranya bermula apabila Jung-woo tiada pilihan selain menukar identiti diri serta menyamar sebagai wanita demi mendapatkan jawatan tersebut bagi menyara diri dan keluarga.

Idea gila tersebut terlaksana atas bantuan adik perempuannya, Hang Jung-mi (Han Sun-hwa), seorang YouTuber kecantikan yang berjaya mengubah penampilan Jung-woo menjadi wanita cantik, seterusnya berjaya mendapatkan jawatan tersebut.


Pilot benar-benar menggeletek hati penonton seawal filem bermula sehinggalah ke penghujungnya dengan pelbagai elemen yang sangat menghiburkan.

Menyajikan komedi bersahaja dengan dialog mencuit hati, perjalanan naskhah ini menjadi sangat menarik tanpa sempat berasa bosan. Sepanjang tontonan, dewan tayangan tidak sunyi dengan gelak ketawa penonton yang seakan turut sama masuk ke dalam cerita karakter-karakter terbabit.

Komedi bersahaja

Namun kelebihan filem ini tentunya pada persembahan lakonan Cho Jung-suk sebagai teraju utama yang cemerlang menjayakan peranannya. Aktor itu kembali beraksi di layar lebar selepas kali terakhir tampil menerusi filem Exit pada 2019.

Jung-suk berani menggalas cabaran berbeza, sekali gus memberi kelainan dalam lakonannya untuk naskhah ini. Sebagai lelaki dia diakui tampan, tetapi ketika menjadi wanita, dia juga tidak kalah cantiknya.

Bukan mudah untuk seorang aktor memainkan peranan dan berpenampilan sebagai wanita, tetapi dia berjaya mencuri perhatian penonton dengan aksi-aksi lucu yang tidak dipaksakan itu.


Memang ada adegan-adegan yang tidak masuk akal, tetapi ia bijak mengaburi penonton untuk mempercayainya dengan keperluan komedi bersesuaian. Bahkan beberapa kelemahan dalam filem ini diselamatkan oleh perjalanan keseluruhan naskhah yang sangat menghiburkan.

Pun begitu meski intinya adalah komedi, banyak mesej penting yang disampaikan menerusi karakter-karakter yang ditampilkan dengan jelas terutamanya berkenaan wanita.

Secara keseluruhannya, Pilot seronok untuk dinikmati dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Jangan ketinggalan menonton filem ini di pawagam berdekatan. - 7KLIK

ARTIKEL BERKAITAN:

[KREDIT FOTO: ATriNaga Sdn Bhd - Terima Kasih Sabrina Koh]


PILOT
Bahasa: Korea
Klasifikasi: P12
Genre: Komedi
Durasi: 1 jam 52 minit
Pengarah: Kim Han-Gyul   
Pelakon: Cho Jung-Seok, Lee Joo-Myoung, Han Sun-Hwa, Shin Seung-Ho
Edaran: ATriNaga Sdn Bhd
Tarikh Tayangan: 15 Ogos 2024
Bintang: 6.5/10 


Post a Comment

0 Comments