HIJACK 1971, sebuah lagi filem menarik daripada produksi Korea menemui penonton di pawagam pada minggu ini.
Naskhah arahan Kim Sung-Han itu merupakan sebuah kisah yang diinspirasikan daripada kejadian sebenar rampasan pesawat Korean Air F27 yang berlaku pada 1971.
Meski punca rampasan tersebut bukan disebabkan konspirasi politik melibatkan Korea Selatan dan Korea Utara, tetapi ketegangan hubungan dua negara itu banyak mempengaruhi kehidupan rakyat di kedua-dua negara sehingga mencetuskan insiden terbabit.
Ringkasnya Hijack 1971 yang ditulis oleh Kim Kyung-chan mengisahkan bagaimana sebuah pesawat penumpang yang dikendalikan Kapten Gyu-sik lakonan Sung Dong-Il dan pembantunya, Tae-in (Ha Jung-woo) bersama seorang peramugari, Ok-soon (Chae Soo-bin) membuat penerbangan dari Sokcho di Wilayah Gangwon ke lapangan terbang Gimpo, Seoul.
Tidak lama selepas berlepas, ketegangan mula berlaku pabila salah seorang penumpang, Yong-dae (Yeo Jin-goo) meletupkan bom tangan buatan sendiri sehingga keadaan menjadi kacau dan tidak terkawal. Tanpa sebab yang jelas, pemuda berusia 22 tahun itu mengarahkan juruterbang melencongkan pesawat yang dinaiki 51 penumpang itu ke Korea Utara.
Tae-in yang juga bekas juruterbang jet pejuang Korea Selatan yang dipecat daripada perkhidmatan kerana tidak mematuhi arahan atasannya untuk menembak jatuh sebuah pesawat penumpang dengan kes serupa sebelum itu cuba menangani situasi tegang tersebut dengan segala kepakaran yang ada pada dirinya demi menyelamatkan penumpang.
Filem yang mengangkat tema pesawat dirampas memang sudah kerap kali ditampilkan, yang membezakan cuma bagaimana pengkisahan naskhah tersebut dibangunkan untuk menjadi lebih menarik dan memberi impak kepada tontonan.
Hijack 1971 mempunyai kekuatan ceritanya yang tersendiri, daripada amarah yang mencetuskan ketegangan, sehinggalah kepada emosi dan simpati yang bergantian mengisi babak.
Penonton seakan dibawa masuk ke dalam situasi tegang dan kekacauan yang berlaku dalam pesawat tersebut. Sama-sama merasakan debarannya, malah turut sama beremosi saat juruterbang berusaha habis-habisan untuk menyelamatkan kesemua penumpang meski dalam keadaan cedera parah.
Tidak dapat disangkal, lakonan Ha Jung-Woo dan Yeo Jin-Goo sebagai teraju utama sememangnya memberi impak besar pada filem ini.
Lakonan Ha Jung-Woo sebagai pembantu juruterbang yang berjiwa besar yang mengutamakan keselamatan penumpang itu dihidupkan dengan cemerlang sehingga menjadi titik tumpu sepanjang penceritaan.
Yeo Jin-Goo sebagai Yon-dae yang berperan antagonis dibenci penonton kerana kekejaman yang dilakukan, tetapi dalam masa sama dia juga dikasihani kerana menjadi mangsa latar belakang silam dan diskriminasi sosial tidak berperikemanusiaan yang membawa kepada tindakannya merampas pesawat. Penonton jadi peduli kepada sosok antagonis itu meski dia menjadi punca kepada seluruh kekacauan yang berlaku itu.
Cuma sayang sedikit apabila beberapa watak lain tidak dikembangkan dengan sebaiknya meski mempunyai kisah menarik yang diyakini mampu menyumbang kepada penceritaan lebih berimpak.
Kekurangan juga terlihat pada kesan khas tidak begitu 'menjadi' yang ditampilkan dalam sesetengah babak sehingga adakala mengganggu visual filem ini.
Bagaimanapun filem ini masih menarik dengan paparan sinematik yang disesuaikan dengan latar tempat dan masa kisah ini berlaku. Ia berjaya membawa penonton mengimbau kehidupan pada era itu.
Seperti mana diketahui, pada era 1970-an itu, sosio-politik Korea Selatan dan Korea Utara itu cukup tegang dengan pelbagai sentimen termasuk perbezaan ideologi yang akhirnya mengundang kepada pelbagai peristiwa tragis melibatkan rakyat di kedua-dua negara.
Secara keseluruhannya, Hijack 1971 adalah sebuah filem yang penuh dengan debaran, emosi dan berbaloi untuk ditonton. - 7KLIK
[KREDIT FOTO: Sony Pictures Entertainment - Terima kasih Junette]
ARTIKEL LAIN:
- review-fly-me-to-moon-naskhah-romantik
- review-ketakutan-yang-senyap-dalam
- review-memoir-seorang-guru-rasa-yang
HIJACK 1971
Bahasa: Korea
Klasifikasi: P13
Genre: Aksi/jenayah
Durasi: 1 jam 40 minit
Pengarah: Kim Sung-Han
Pelakon: Ha Jung-Woo, Yeo Jin-Goo, Sung Dong-Il, Chae Soo-Bin
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 1 Ogos 2024
Bintang: 6.5/10
0 Comments