Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Lakonan hebat bintang 'papan atas' selamatkan Revolver


FILEM aksi thriller produksi Korea Selatan, Revolver, yang dinantikan ramai bakal menjengah pawagam di Malaysia mulai 29 Ogos ini.

Tidak hanya tampil dengan tema menarik, karya pengarah tersohor, Oh Seung-Uk itu juga mengundang teruja apabila membariskan barisan pelakon 'papan atas' sekali gus menjadi tarikan utama filem ini.

Secara ringkasnya, Revolver mengisahkan tentang Ha Su-young lakonan Jeon Do-yeon, seorang bekas pegawai polis yang terjerat dalam kes rasuah tidak dilakukannya.

Bagaimanapun, dia bersetuju menjadi 'kambing hitam' dan menanggung kesalahan tersebut setelah dijanjikan ganjaran lumayan apabila selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Malangnya setelah dibebaskan dua tahun kemudian, pihak berkenaan memungkiri janji mereka. Berasa dikhianati, Su-young tekad untuk memburu mereka dan menuntut haknya kembali meski berdepan pelbagai ancaman. 

Naskhah tulisan Oh Seung-Uk bersama Joo Byeol ini penuh dengan ketegangan dan berfokus kepada karakter utamanya, Su-young yang berjuang mendapatkan haknya biar apapun yang terjadi.

Bertitik tolak daripada matlamat dan tujuan itu, ceritanya mula bergerak melibatkan beberapa karakter lain yang berada dalam laluan misi So-young.

Antaranya watak Andy (Ji Chang-Wook) dan Jung Yoon-Sun (Lim Ji-Yeon) banyak memberi warna dalam ketegangan pemburuan Su-young yang digambarkan dengan perwatakan cukup dingin itu.


Pengarah, Oh Seung-Uk yang sebelum ini pernah meraih kejayaan menerusi filem The Shameless, bijak menyusun atur karakter terbabit bagi menyokong penceritaan.

Naskhah ini berjaya mempamerkan pelbagai emosi yang ingin disembunyikan atau didedahkan oleh watak-watak berkenaan dengan begitu baik.

Pujian tentunya untuk barisan pelakon hebat dalam filem ini, termasuk cameo yang berjaya memberikan lakonan berimpak sekali gus menjadi antara kelebihan utama filem ini.

Lakonan cemerlang

Pemilihan Jeon Do-yeon sebagai teraju utama sememangnya tepat dengan lakonan yang tidak perlu diragukan. Aktres yang sebelum ini pernah memenangi pelbagai anugerah itu menampilkan sisi berbeza dalam lakonannya sebagai Su-young yang sangat kompleks.

Dia banyak bermain dengan ekpresi wajah dalam menyampaikan emosi marah, sedih dan tekad dalam gerak geri samar yang menegangkan. Setiap kali saat kamera 'close up' ke wajahnya, penonton benar-benar dapat merasai emosi yang mengalir dalam dirinya. 

Meski tidak banyak menyajikan babak aksi, naskhah ini sentiasa membangkitkan rasa ingin tahu penonton menerusi adegan-adegan yang dipaparkan. Ia secara idak langsung mengikat penonton untuk terus mengikuti perjalanan cerita sehingga ke penghujung.

Revolver adalah sebuah filem yang senyap, suram tetapi menegangkan. Elemen pencahayaan, muzik, latar tempat, pemilihan pakaian berjaya memberikan mood tersendiri kepada filem ini.

Pun begitu, pada ketika tertentu naskhah ini mungkin mengundang sedikit rasa bosan kepada tontonan kerana jalan ceritanya yang agak perlahan dan straight forward tanpa sebarang kejutan. Sedar-sedar filem sudah berakhir tanpa ada adegan membekas sebaik beredar dari panggung, melainkan lakonan mantap para pemainnya. 

Ramai yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap filem ini, tetapi secara keseluruhannya ia adalah naskhah yang biasa-biasa sahaja.

Apa-apapun, Revolver masih berbaloi untuk ditonton. Jangan ketinggalan menonton di pawagam berdekatan mulai 29 Ogos ini. - 7KLIK


3 Filem Korea Akan Datang

1. Spring Garden - 5 September 2024
2. Riize Fan-Con Tour 'Riizing Day' Finale In Cinemas - 13 September 2024
3. Jung Kokk: I Am Still - 18 September 2024


ARTIKEL LAIN:



REVOLVER
Bahasa: Korea
Klasifikasi: P15
Genre: Aksi/thriller
Durasi: 1 jam 54 minit
Pengarah: Oh Seung-Uk   
Pelakon: Jeon Do-Yeon, Ji Chang-Wook, Lim Ji-Yeon, Lee Jung-Jae
Edaran: ATriNaga Sdn Bhd
Tarikh Tayangan: 29 Ogos 2024
Bintang: 6/10 

[KREDIT FOTO: ATriNaga Sdn Bhd - Terima Kasih Sabrina Koh]


                                                                   TONTON TRAILER

Post a Comment

0 Comments