PRECIOUS Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) yang mempertandingkan 23 jenama fesyen melabuhkan tirainya dengan menobatkan tiga pereka muda berbakat dengan rekaan unik dan penuh kreativiti sebagai pemenang.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari pada 2 hingga 4 Ogos lalu di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur itu menyaksikan persaingan sengit daripada barisan pereka fesyen yang bukan hanya dari Malaysia, tetapi juga wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina.
Pereka muda Afiq Syazani dinobatkan sebagai juara, diikuti Rashid Moshi sebagai naib juara dan Pelajar Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula menduduki tempat ketiga.
Jonathan dan Farel Mikhail daripada FM Group selaku penganjur berkata, usaha itu adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekali gus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.
“Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini, sebaliknya merancang membawa rekaan mereka ke Paris.
“Kalau ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan.
“Dalam program itu, para pemenang akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program lain juga telah diatur dan akan diumumkan kelak," ujarnya yang ditemui selepas cara berlangsung.
Tambah Jonathan, program itu kelak diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada pereka fesyen tempatan untuk mengembangkan bakat dan karya mereka di luar negara.
“Ini satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.
“Jadi, kita boleh nampak perkongsian budaya yang berbeza sekali gus menaikkan imej pereka fesyen muda dari Malaysia,” katanya.
Keistimewaan
Dalam pada itu, barisan pemenang juga juga diberi keistimewaan untuk memperagakan koleksi rekaan mereka di hadapan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia pada 4 Ogos.
“Ini merupakan satu penghargaan buat para pemenang apabila dapat menampilkan hasil rekaan mereka di hadapan Sultanah Nur Zahirah," katanya.
Sultanah Nur Zahirah (tengah) berkenan merasmikan Precious Of Malaysia dan melancarkan buku Pesona Kebaya, sambil diperhatikan Jonathan (kiri) dan Farel (kanan). |
Farel Mikhail yang juga bertindak sebagai ketua juri mengakui koleksi yang dibawa oleh para peserta Precious Of Malaysia untuk edisi kali ini sangat mengagumkan.
"Sebenarnya agak terkejut juga dengan hasil rekaan yang ditampilkan. Kami sangat bangga dengan pencapaian luar biasa mereka.
"Tambahan pula, kami telah menguar-uarkan lebih awal tentang pertandingan fesyen ini menerusi media dan media sosial. Menang atau kalah, soal itu nombor dua. Apa yang lebih penting masing-masing ada kekuatan dan keunikan tersendiri.
"Ini secara tak langsung, baik peserta dari dalam atau luar negara, mereka telah menaikkan elemen budaya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Kriteria penilaian
Mengulas tentang penilaian terhadap rekaan yang dipertandingkan, Farel berkata, hasil rekaan dinilai dari empat sudut iaitu motif, kreativiti, koleksi dan rekaan itu sendiri.
“Hasil usaha mereka dalam memenuhi empat kriteria ini telah memberi gambaran di mana tahap mereka dan sebagai persediaan untuk bersaing secara sihat dengan pereka-pereka fesyen di luar sana.
“Misalnya, kalau lihat rekaan daripada tim UiTM sebenarnya sudah boleh berdiri hebat sebaris pereka-pereka fesyen dalam pasaran,” jelasnya.
Antara koleksi unik rekaan jenama Kin By Nik yang memenangi kategori Best Showcase. |
Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya. Tidak ketinggalan penaja yang turut menyatakan sokongan seperti Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan lain-lain.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.
Acara yang akan berlangsung pada 10 Ogos di Pavilion Damansara Heights itu menyasarkan 1001 pengunjung hadir memakai tanjak pada hari tersebut.
Pelbagai acara menarik lain turut diadakan termasuk pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- precious-of-malaysia-iktiraf-bakat
- olimpik-paris-2024-penuh-pesona-koleksi
- met-gala-2024-gaya-unggul-kreatif-pelik
[FOTO: Precious Of Malaysia]
0 Comments