Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Precious Of Malaysia iktiraf bakat terpendam pelajar IPT dalam rekaan fesyen


DUNIA fesyen tanah air dilihat semakin berkembang dengan rekaan yang kreatif dan penuh inspirasi dalam pelbagai koleksi yang dihasilkan.

Bukan sahaja daripada pereka yang sudah mempunyai nama, tetapi juga bakat-bakat baharu yang mempunyai ilham dan keupayaan yang tidak kurang hebatnya.

Menghargai setiap bakat yang ada, pereka fesyen yang juga penganjur acara (FM Group) iaitu Jonathan dan Farel Mikhail mengambil inisiatif menganjurkan International Cultural Fashion Week (ICFW) sempena Festival Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos 2024.

Menariknya pertandingan yang memperjuangkan budaya Malaysia melalui fesyen itu turut membabitkan penyertaan daripada empat Institut Pengajian Tinggi tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM Shah Alam), Taylor’s University, ESMOD Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Selayang.

Menurut Farel, pertandingan fesyen itu mendapat sambutan luar biasa, malah pihaknya menerima banyak permohonan dari pelbagai IPT yang mahu turut serta  dalam pertandingan ICFW.

"Untuk penganjuran kali ini, kami hanya memilih empat IPT sahaja kerana mahu lebih fokus dan pentingkan kualiti. Insya-ALLAH pada ICFW tahun depan kami akan libatkan lebih banyak IPT untuk menghantar peserta.

“Pun begitu, kami juga melihat kepada kesungguhan dan rekaan yang bakal ditampilkan. Ini kerana kami mahukan sentuhan baharu, kreatif dan idea luar kotak terhadap busana tradisional.

“Ada yang bertanya kenapa pertandingan ini turut memberi ruang kepada para pelajar IPT, jawapannya adalah kerana rasa tanggungjawab kami sebagai anak muda untuk terus memartabatkan budaya Malaysia,” katanya.

Farel berkata demikian ketika ditemui pada acara ICFW (sesi pelajar IPT) yang berlangsung di Menara Affin, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mahu terus melihat rekaan fesyen tanah air berkembang lebih maju, Farel melihat acara itu sebagai salah satu platform terbaik untuk para pereka mempamerkan kreativiti mereka.

“ICFW adalah platform buat mereka untuk dikenali dan terus ‘terbang tinggi’ dalam bidang rekaan fesyen. Melalui pertandingan seperti inilah bakat mereka boleh digilap dan bersaing secara sihat," katanya.


Mengulas tentang sikap segelintir netizen yang gemar merendah-rendahkan bakat pereka fesyen muda, Farel yang juga bertindak sebagai ketua juri pertandingan tersebut berharap agar mereka dapat mengkritik secara membina.

“Tak dinafikan, netizen bebas berkata atau menulis apa sahaja dalam media sosial mereka. Itu hak mereka yang kita tak boleh sekat.

“Namun janganlah menghina atau mengeji rekaan pereka muda yang masih dalam proses belajar. Usah patahkan semangat mereka yang berusaha gigih untuk lakukan yang terbaik.

“Kami tahu bagaimana sakitnya rasa dihina dan rekaan kita diperlekehkan. Bukan tak boleh menegur atau komen, tapi biarlah kritikan membina. Tegur kelemahan dan cadangkan apa yang lebih baik agar mereka dapat pelajari sesuatu,” tegasnya.

Ruang untuk berkarya

Sementara itu, Jonathan pula berharap ICFW akan menjadi pemangkin kepada anak-anak muda di IPT untuk terus menyerlahkan bakat mereka. Memasuki edisi ketiga penganjuran, acara itu menyaksikan beberapa kelainan yang dbawakan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Saya bangga apabila ramai anak muda cenderung memperjuangkan busana tradisional yang merupakan sebahagian daripada budaya kita. Inilah masanya untuk mereka membuktikan bakat dan kebolehan mereka.

“Saya tahu, ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka, apatah lagi untuk melebarkan sayap dalam bidang fesyen.

"Jadi ICFW inilah peluang dan platform buat mereka untuk berkarya dan berkembang dengan lebih baik,” katanya.

Keputusan bagi ICFW sesi IPT akan diumumkan pada Sabtu ini, di mana mereka turut berentap dengan barisan pereka fesyen muda yang sudah mempunyai jenama sendiri.


Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya. Tidak ketinggalan penaja yang turut menyatakan sokongan seperti Affin Bank Berhad, Vivo, Pavilion Damansara Heights, MyCar, Sunshine Asia Group, Famous Amos, Ascott Kuala Lumpur dan banyak lagi.

Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Acara yang akan berlangsung pada 10 Ogos di Pavilion Damansara Heights itu menyasarkan 1001 pengunjung hadir memakai tanjak pada hari tersebut.

Pelbagai acara menarik lain turut diadakan termasuk pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos. Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments