Oleh: SHAZAN ZAIDI
PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri terus menampilkan aksi cemerlang acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita dalam saingan separuh akhir di Pusat Akuatik Saint-Dennis, Paris pada Khamis.Atlet berusia 25 tahun itu menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 18 peserta dengan kutipan 286.95 mata, sekali gus mengesahkan tiket ke peringkat akhir yang akan berlangsung jam 9 malam Jumaat.
Dhabitah bermula cemerlang pada terjunan pertama dengan memperoleh 67.50 mata dan menduduki tangga kedua pada pusingan itu, sebelum berdepan sedikit penurunan pada terjunan kedua dan ketiga dengan pungutan mata 55.50 dan 46.50 mata.
Namun penerjun berpengalaman itu bangkit dengan terjunan yang lebih baik pada pusingan keempat dengan mata 57.00 dan memperoleh 60.45 mata untuk terjunan terakhir, sekali gus membaiki kedudukan ke tangga lebih baik dan berjaya menempatkan dirinya dalam 12 kelompok teratas yang melangkah ke peringkat akhir.
Jika pada Olimpik Tokyo 2020 Dhabitah menamatkan saingan di tempat keempat pada aksi final, ramai menaruh keyakinan Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu bakal mencatat sejarah manis pada edisi kali ini.
Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments