Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Meriahkan sambutan Hari Kemerdekaan bersama TV AlHijrah


STESEN TV AlHijrah akan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 dengan pelbagai program istimewa bertemakan 'Malaysia Madani Jiwa Merdeka'.

Barisan rancangan terbaik itu dijadualkan siarannya demi menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan warga penonton.

Antara rancangan yang harus ditonton adalah Podcast Suara Ulama Merdeka, Gema Haflah, Assalamualaikum Khas Merdeka, Malaysia Quran Hour, Kapsul Jiwa Merdeka dan Malaysia Megah Di Puncak Dunia.

Podcast Suara Ulama Merdeka merupakan sebuah rancangan yang membawa penonton secara santai namun penuh ilmiah untuk mendalami kisah sejarah dan erti kemerdekaan yang sebenar.

Berbeza dengan mana-mana program yang pernah ditayangkan sebelum ini, Podcast Suara Ulama Merdeka memberikan kelainan apabila penonton berpeluang menelusuri sejarah perjuangan para ulama dalam mengecapi kebebasan serta peranan mereka dalam memelihara masa depan Islam dan Malaysia yang lebih cemerlang.

Rancangan ini akan disiarkan pada 26 Ogos hingga 3 september, pada Isnin dan Selasa, jam 9 malam, bersama pengacara jemputan Khir Rahman.

Seterusnya, Gema Haflah musim keempat akan disiarkan pada Khamis, 29 Ogos 2024, jam 9 malam. Program ini akan memaparkan persembahan alunan ayat-ayat suci al-Quran dengan variasi alunan seni tarannum oleh barisan qari daripada anggota keselamatan negara iaitu PDRM, JBPM, ATM dan APMM menerusi tema 'PERWIRA' sempena sambutan hari kemerdekaan negara tahun ini.

Rancangan Assalamualaikum Khas Merdeka  pula akan ditayangkan pada 30 ogos, jam 7 pagi.  Penonton berpeluang untuk bersama-sama hos rancangan seperti Amie Sofea Ahmad, Naufal Hatta, Ustaz Nabil Ahmad dan Ardi Herman Mohd Mardzi bagi memperingati detik-detik istimewa Hari Merdeka dan Hari Malaysia. 

Barisan tetamu jemputan pelbagai latar belakang termasuk para asatizah, tokoh-tokoh korporat dan negarawan turut berkongsi kisah keharmonian masyarakat majmuk sambil menghayati istilah jiwa merdeka menurut Islam.


Pada hari sama, jam 10 pagi, TV AlHijrah akan menyiarkan Malaysia Quran Hour yang akan bersiaran langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Penganjuran kali ini memberi penekanan kepada nilai spiritual kemerdekaan penonton sambil menghayati ajaran al-Quran menerusi mesej yang dibawa oleh surah-surahnya.

Seterusnya, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Jiwa Merdeka pada 31 Ogos di kaca televisyen anda. Program ini bergenre kapsul doa yang membawa penonton menghayati detik-detik pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31hb Ogos 1957.

Penonton turut berpeluang menghayati doa pertama yang dibacakan oleh Almarhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said sejurus pengisytiharan kemerdekaan tersebut.

Imbasan ini juga akan diselang selikan dengan hadis-hadis pilihan serta saranan para ulama untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam diri penonton.

TV AlHijrah juga akan menyiarkan rancangan Malaysia Megah Di Puncak Dunia pada 16 September, Isnin, jam 6 petang.

Program tersebut akan membawa penonton mengikuti pengembaraan rakyat Malaysia, Khafiz Al Khicok yang mencabar ketahanan mental dan fizikalnya dalam menawan puncak Gunung K2 di Pakistan, gunung kedua tertinggi di dunia selepas Everest.

Ketabahan dan keazamannya dalam menghabiskan misi ini pastinya dapat menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia untuk terus maju menggapai impian. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[KREDIT: TV Al-Hijrah - Terima Kasih Nurhaniza]

Post a Comment

0 Comments