Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Menjelang konsert solo, Jaclyn Victor kongsi Sesal Tak Bermakna


BAKAL tampil dengan konsert solo sulung Oktober depan, penyanyi bervokal hebat, Jaclyn Victor terlebih dahulu menghadiahkan peminat dengan single baharu, Sesal Tak Bermakna.

Karya istimewa yang menemui peminat pada 23 Ogos lalu itu dihasilkan Gerald Sellan dan Mux Ryzor selaku penerbit itu turut menerima gabungan idea Adrian Puan bersama Gerald sebagai komposer.

Meski mengangkat judul Sesal Tak Bermakna yang secara kasarnya akan dikaitkan dengan penyesalan terhadap perbuatan lampau, Jaclyn atau lebih mesra disapa sebagai Jac, 45, bagaimanapun melihat ia dari sisi berbeza.

“Mungkin bunyi Sesal Tak Bermakna seperti satu penyesalan terhadap perbuatan yang telah dilakukan tapi Sesal Tak Bermakna versi single kedua saya ini adalah bagaimana seseorang belajar di sebalik sesuatu yang berlaku dan berusaha menjadi lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.

Penyanyi yang terkenal mencapai notasi tinggi dalam nyanyiannya itu juga mahu peminat melihat sisi berbeza dirinya selepas lebih dua dekad berlayar dan mengharungi gelombang arus muzik menerusi single baharu yang bernuansa gelap itu berbanding hit miliknya seperti Gemilang atau Kejutkan Aku.

Dibalut dalam genre balada pop ditemani melankolis dentingan piano, Jac mendefinisikan Sesal Tak Bermakna sebagai semangat yang perlu ada dalam setiap individu setelah sesuatu perkara kurang baik berlaku.

Kata Jac lagi, lagu yang menjadi single kedua selepas kejayaan Kejutkan Aku itu mengisahkan kebangkitan seseorang selepas cinta yang disemai tidak berbuah manis.

Sesal Tak Bermakna adalah sebuah lagu cinta. Ia mengajar kita meneroka dan mengatasi penyesalan serta memaafkan diri sendiri.

"Saya juga berpegang kepada peribahasa ‘apa yang tidak membunuhmu, menjadikanmu lebih kuat.’ Dan itulah (roh) yang ada dalam lagu ini,” jelas Jac.


Menariknya untuk muzik video lagu ini, ibu kepada dua anak itu kembali mempamerkan bakat lakonannya dengan menjadi pemeran untuk video tersebut. Sebelum ini Jac pernah berlakon dalam filem Talentime pada tahun 2009.

Teruja

Seiring lahirnya Sesal Tak Bermakna di pasaran, Jac juga teruja menyambut ribuan peminat untuk merayakan ulang tahun ke-20 sebagai anak seni di Jaclyn Victor First Solo Concert yang yang bakal berlangsung di pentas Zepp KL pada 12 Oktober depan.

Single tersebut akan disampaikan bersama lagu-lagu lain yang telah mengharumkan nama Jac bukan sekadar ‘bintang pemenang program realiti televisyen’ sebaliknya permata seni yang patut dibanggakan.

“Saya sangat tidak sabar menanti hari besar dan bersejarah iaitu Jaclyn Victor First Solo Concert pada 12 Oktober 2024 di Zepp KL.

“Konsert solo ini akan menjadi medan pertemuan intim dengan peminat dan tanda cinta serta apresiasi saya kepada mereka yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni saya sejak dua dekad lalu,” ungkap terujanya.

Konsert istimew yang dibawakan oleh Rag Doll Records dengan kerjasama BBE & Awake Productions itu akan diketuai Genervie Kam yang diberi tangungjawab sebagai pengarah, bersama barisan pemuzik handalan tanah air.

Tiket Jaclyn Victor First Solo Concert dijual dengan harga bermula RM258 sehingga RM888 dan bleh didapati menerusi laman web www.livepass.asia- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments