Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Makan Malam Amal Meraikan Bintang, apresiasi dan sumbangan buat veteran ATM


Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) melalui Yayasan Veteran ATM kembali menganjurkan Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 dalam usaha untuk terus menghargai dan menyampaikan bantuan kepada wira negara yang memerlukan.

Mengangkat tema Meraikan Bintang, Metamorfosis Hadapan sekali lagi akan menjadi medan apresiasi atas segala jasa, pengorbanan dan bakti para veteran ATM yang pernah menjaga keamanan serta kemakmuran negara diraikan.

Acara Makan Malam Amal Meraikan Bintang itu akan diadakan di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM, bermula jam 8 malam pada 24 September depan.

Majlis Makan Malam Amal ini juga bakal menyaksikan Pelancaran Kad Veteran Digital yang akan dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, selaras dengan era transformasi digital dan kesedaran mengenai kepentingan pembudayaan pendigitalan dalam memacu ke arah organisasi berprestasi tinggi.

JHEV ATM berhasrat untuk melaksanakan transformasi kad veteran ATM manual (kad plastik) kepada Kad Veteran Digital dengan pelbagai fungsi yang memberikan kebaikan dan faedah kepada keseluruhan warga veteran ATM.

Inisiatif tersebut masih dalam proses pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan kepada para veteran ATM pada pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan. Kad veteran digital akan dipaparkan dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.



Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zambery Jefry Darus berkata, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM berbesar hati dapat terus melaksanakan majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang yang dianjurkan saban tahun itu.

“Majlis ini bertujuan bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan dan menghargai pengorbanan serta bakti para Veteran ATM tetapi akan menjadi medan merapatkan silaturahim semua wira dan wirawati yang pernah berjuang mempertahankan negara dan mencapai keamanan kita nikmati sekarang.

“Semua sumbangan yang diperoleh akan diagihkan kepada veteran ATM yang memerlukan sekali gus membantu mereka berjuang meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.

Persembahan istimewa

Bersama sumbangan yang akan disalurkan, pihak JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM juga menyuntik suasana makan malam dengan sedikit hiburan demi meraikan sekitar 700 tetamu yang diundang.


Pada acara itu, penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim bakal menghiburkan dan menyantuni para veteran ATM dengan alunan merdu vokal mereka.

Liza Hanim mengakui terharu bakal terlibat dalam acara itu dan menghiburkan tetamu yang begitu istimewa bukan sahaja buat dirinya tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tentu saja saya dengan senang hati bersetuju untuk melakukan persembahan majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 ini.

“Mereka adalah bintang yang tidak akan pernah terpadam sinarnya kerana jasa, bakti serta pengorbanan yang diberikan kepada negara juga tidak akan terpadam.

“Untuk itu saya sangat berbesar hati menghiburkan para veteran ATM yang akan menghadiri majlis makan malam ini nanti," katanya yang mengharapkan agar penganjur meneruskan inisiatif tersebut pada masa akan datang.

Sementara Jamal pula menyifatkan penglibatannya melakukan persembahan pada acara itu sebagai penghormatan buat para veteran ATM dan wira serta wirawati yang bergadai nyawa menjaga kedaulatan negara.

Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 boleh disertai dengan pembelian mengikut tiga kategori meja iaitu 10 Perkasa bernilai RM50,000, diikuti 20 Perwira dengan harga RM20,000 dan 20 Pahlawan berharga RM10,000.

Sepanjang penubuhan, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM aktif mengumpul dana untuk tabung kecemasan bagi menyantuni para pejuang yang memerlukan yang mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan dalam keadaan tertentu.

Antara initiatif Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan adalah melalui surat-surat yang dihantar kepada syarikat dan rakan strategik, program-program Kempen Tabung Pahlawan, tabung yang diletakan di beberapa BHPetrol dan Jabatan/Kementerian dan juga sumbangan atas talian serta beberapa initiatif lain.

Sebarang keterangan lanjut hubungi pihak sekreteriat Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 di talian 019 6576 127 dan 012 7398586 atau emel ke sekreteriatTabungPahlawan@gmail.com- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments