Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Lama menyepi, Nur Fatima kembali ubat rindu peminat di tanah air


JAUH berkelana di Sydney, Australia bukanlah halangan buat penyanyi wanita bersuara lunak, Nur Fatima untuk terus tampil dengan karya baharu, sekali gus mengubati rindu peminat yang masing mengikuti perkembangan dirinya.

Mempertaruhkan single Ku Cuba, sebuah karya ciptaan komposer terkenal Sharon Paul dan lirik oleh Shah Shamshiri, bekas finalis Gegar Vaganza musim keenam itu berharap agar buah tangan terbaharunya itu mendapat perhatian peminat di tanah air.

Menurut Nur Fatima, kali terakhir dia menghasilkan single sekitar tiga tahun lalu menerusi lagu Galeri. Mengambil masa agak lama untuk tampil dengan single terbaharu, dia mengakui tidak mudah mencari karya yang sesuai dan bertepatan dengan genre serta suaranya.

“Sejak pandemik Covid-19, saya akui mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan single baharu kerana merasakan genre balada lebih sesuai dengan suara dan pembawakan saya.

“Lagu ini pada awalnya telah dicadangkan untuk dua orang penyanyi dan sempat dinyanyikan oleh seorang penyanyi ‘power’ sebelum saya.

"Bagaimanapun pihak pengurusan dan produser muzik sendiri berpendapat ia lebih sesuai dinyanyikan oleh saya kerana kelembutan tona suara yang saya miliki, selain bait-bait liriknya lebih saya hayati kerana ia adalah nukilan teman rapat saya iaitu Shah," jelasnya.

Single edaran Sound On itu mengisahkan tentang seseorang yang sabar dan tidak berputus asa dengan kekasihnya walaupun menghadapi dugaan mencabar dalam hubungan percintaan mereka.

Mengulas lanjut, penyanyi berusia 42 tahun itu berkata, lagu tersebut mengenai pengorbanan, kerelaan dan keredaan dengan apa jua keputusan asalkan orang yang disayangi bahagia.

“Genre lagu ini lebih kearah ‘power ballad’ yang sangat mencabar dengan nada tinggi dan rendahnya, serta mainan emosi yang mendalam agar nyanyian saya sampai ke hati pendengar.

"Lama juga saya ‘bertapa’ di studio untuk menghayati liriknya sehingga produser, Sharon betul-betul berpuasa hati.

"Terima kasih kepadanya sekali lagi di atas bimbingan yang sangat berharga," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi.

Pindah ke Sydney

Menariknya, single itu juga menampilkan muzik video (MV) istimewa dengan konsep lebih segar dan selari dengan ‘trend’ fesyen masa kini.

“MV kali ini menunjukkan diri saya yang lebih berekspresi daripda raut wajah dengan gaya yang mendayu dibuai perasaan sedih dan sebak di bawah arahan pengarah muda berbakat, Khyrill.

“Saya juga berpeluang menggayakan busana indah hasil rekaan pereka fesyen Hasfitri Yusof bersama sentuhan penata gaya Zhee. A. Hussein, menghidupkan lagi visual MV lagu ini," katanya teruja.



Berkongsi mengenai cabaran yang dilaluinya, Nur Fatima berkata, meski sudah bertahun menjadi anak seni, dia tetap berdepan dengan   kesukaran tertentu sebagaimana penyanyi-penyanyi lain.

“Saya tidak pernah berputus asa dan memberanikan diri untuk melakukan kerja-kerja di belakang tabir. Saya juga mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik demi menambah ilmu.

“Saya nasihatkan buat pendatang baharu agar utamakan pelajaran dahulu sebelum memilih bidang apa, pelajaran bukan sahaja memberi ilmu tetapi memupuk disiplin.

"Paling penting sayangi diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi, harus berani serta jangan cepat berputus asa," ungkapnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang popular dengan lagu Selembut Sutera itu berkata, dia dan suami kini telah berpindah ke Sydney dari ibu kota Australia, Canberra pada awal tahun ini kerana mengikut suaminya atas urusan kerja.

"Sepanjang di sini saya kini aktif membuat persembahan bersama band di sekitar Australia. Dalam masa sama masih mahu menghasilkan karya untuk peminat di tanah air.

"Jadi saya berharap agar single baharu ini akan mendapat sambutan yang baik daripada pendengar. Sebuah karya yang menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya, sekali gus akan mengubat kerinduan peminat-peminat saya semua," akhirinya.

Ku Cuba boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi  ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music serta YouTube Music.

Sementara MV pula boleh ditonton di laman YouTube Nur Fatima Music, youtube.com/@nurfatimamusic- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments