Persembahan istimewa itu membariskan bintang-bintang terkenal era 1990-an yang terdiri daripada Zamani, Rahmad Mega, Ady Wow, Amir Ukay’s, Isa Gravity, Shidi Data, Dinamik Kasawari dan Febians.
Tidak ketinggalan kumpulan Shades, Kool, A To Z, Wann, Aris Ariwatan, Roy, Hasnol, Tom, Fuad, bersama DJ Fasha Anderson dengan Don’t Panic Buskers, dan ramai lagi.
Mewakili Vits selaku penganjur, Baizura Tazri berkata, festival yang menggabungkan elemen muzik dan makanan bersempena Vit’s Music Festival itu julung kali diadakan agar pengunjung dapat menikmati makanan berasaskan mi dengan sajian muzik 90-an.
"Konsert ini diadakan untuk mengubati kerinduan peminat-peminat muzik 90’an dengan membawakan lagu-lagu hits era tersebut dan menggabungkan pesta makanan berasaskan mi seperti laksa, mi kari, mi bandung, pasta, dan bermacam lagi.
“Selain itu ia juga bertujuan mengumpul dana bagi Persatuan Karyawan Malaysia melalui hasil jualan tiket konsert, dan dana diperolehi akan digunakan untuk membantu artis-artis senior serta karyawan sedang sakit ataupun uzur yang memerlukan bantuan, selari dengan tujuan penubuhan persatuan itu,” jelasnya.
Dijangkakan seramai 17 orang penyanyi 90-an akan terlibat dengan Festival Muzik Vits dengan membawakan pelbagai genre muzik seperti rock, balada, R&B, hip hop dan irama Malaysia.
Aktiviti menarik
Pengunjung Festival Muzik Vits yang berlangsung selama dua hari bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 malam itu berpeluang mengunjungi lebih 80 ‘booth’ peniaga dan penjual dengan pelbagai jenis makanan berasaskan mi di samping dapat beriadah melalui permainan berkonsepkan karnival yang disediakan sesuai untuk aktiviti seisi keluarga.
Tambah Baizura lagi, setiap pengunjung yang hadir ke acara itu dengan mengenakan pakaian berkonsep 90’an seperti rock, hip hop mahupun dangdut bakal menerima hadiah daripada pihak penganjur.
"Atas permintaan ramai di media sosial yang mahukan pertandingan karaoke diadakan, pihak Vit’s juga mengalu-alukan pengunjung untuk mengambil bahagian pada kedua-dua hari dengan pelbagai hadiah menarik yang menanti untuk dimenangi.
“Kami berharap agar festival makanan dan muzik yang berkonsepkan karnival ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang dalam memperjuangkan penyanyi-penyanyi era 90-an yang mengimbau kenangan masa lalu dengan lagu-lagu hits mereka yang malar segar," katanya.
Tiket Konsert Telan Kaset 90’an dan festival boleh didapati secara atas talian menerusi laman web Ticket2u.com.my dengan harga RM45 seorang. Sementara itu, tiada pembayaran yang dikenakan ke Festival Mi Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments