PENDAKWAH selebriti Da'i Syed dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Jumaat selepas didapati bersalah merogol seorang wanita, lima tahun lalu.
Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana mangsa mengumpulkan kekuatannya untuk tampil membuat laporan polis terhadap tertuduh dan perlu menghadiri proses perundangan yang panjang di mahkamah," katanya yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Selepas keputusan dibacakan, suami kepada pengacara Hana Ismail, 38, itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh. Hana yang baru sahaja melahirkan anak sulung mereka 16 hari lalu turut hadir sama.
Pada 10 Disember 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun itu di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 Shah Alam, pada pukul 1.35 malam, 11 September 2019.
Sementara pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Syed didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments