SIAPA sangka di sebalik penampilan sempurna yang sering ditampilkan kepada umum, aktres jelita dan tersohor, Angelina Jolie hampir mendapatkan khidmat pembunuh upahan untuk menamatkan riwayat hidupnya.
Dedah, Jolie, 49, idea dan perancangan 'gila' tersebut tercetus ketika dia berdepan masalah kesihatan mental serius pada usia 22 tahun sehingga tidak berminat lagi untuk meneruskan kehidupan.
Pun begitu, wanita berzodiak Gemini itu tidak mahu memilih jalan dengan membunuh diri kerana enggan membuat keluarga dan orang terdekat berasa bersalah dengan anggapan seolah-olah mereka menjadi punca kerana tidak menjaganya dengan baik.
“Mungkin kedengaran gila tetapi ada satu ketika saya hampir mahu upah seseorang untuk membunuh saya.
“Ahli keluarga mungkin berfikir mereka tidak cukup menjaga saya sekiranya saya bunuh diri. Jadi, lebih baik saya habiskan nyawa dengan cara dibunuh," ujarnya dalam satu temubual.
Justeru pemilik nama sebenar Angelina Jolie Voight itu membuat perancangan tersendiri agar riwayat hidupnya ditamatkan dalam satu konspirasi pembunuhan menerusi kejadian rompakan.
Bagi pelakon Lara Croft: Tomb Raider itu, jika orang lain mengambil nyawanya (dibunuh), mungkin tidak ada sesiapa yang akan berasa bersalah atau kecewa dengan apa yang menimpa dirinya.
Melihat ia sebagai solusi terbaik kepada masalah kesihatan mental yang dideritai, Jolie kemudiannya mengeluarkan sejumlah wang tunai dalam akaun bank miliknya dan cuba mendapatkan khidmat pembunuh upahan untuk menjalankan misi tersebut.
Pertimbangan semula
Bagaimanapun, hasrat ibu kepada enam anak itu tertangguh seketika apabila lelaki yang juga pembunuh upahan ditemui itu menyarankan agar dirinya mengambil sedikit masa untuk berfikir lebih dalam mengenai keputusan tersebut dan kembali berjumpa semula dengannya selepas dua bulan.
"Dia seorang lelaki yang baik kerana meminta saya berfikir dahulu dan berjumpa semula dengannya semula selepas dua bulan," jelasnya.
Ternyata tempoh terbabit berjaya membuatkan Jolie membuat pertimbangan semula tentang rancangan 'gila' tersebut dan memilih untuk meneruskan kehidupannya.
“Saya bersyukur ada sesuatu yang mengubah pemikiran saya,” katanya.
Bagi mereka yang berdepan situasi serupa melibatkan masalah kesihatan mental, carilah solusi terbaik dengan mendapat rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berkongsi masalah yang dihadapi dengan seseorang yang dipercayai.
Nyawa dan kehidupan amat berharga untuk disia-siakan dan apapun masalah dihadapi pasti ada jalan penyelesaiannya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments