LEBIH sejuta doktor di India menyertai protes bagi menuntut keadilan di atas pembunuhan tragis seorang doktor pelatih di kolej perubatan, Hospital RG Kar di Kolkata, India, pada 9 Ogos lalu.
Pakar perubatan India memulakan penutupan 24 jam perkhidmatan bukan kecemasan di seluruh negara pada Sabtu sebagai bantahan terhadap kejadian rogol dan pembunuhan kejam ke atas doktor pelatih berusia 31 tahun itu.
Menurut kenyataan daripada Persatuan Perubatan India, mogok tersebut bermula pada jam 6 pagi dengan memutuskan akses kepada prosedur perubatan elektif dan perundingan pesakit luar. Bagaimanapun jabatan kecemasan di hospital akan terus beroperasi.
Insiden tragis tersebut membangkitkan kemarahan masyarakat kerana ia berlaku di sebuah kolej perubatan dan hospital tempat di mana mangsa bekerja menyelamatkan nyawa manusia.
Media India melaporkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan menyanyat hati di dewan seminar hospital berkenaan dan dipercayai berada di situ untuk berehat seketika setelah melalui syif panjang apabila bertugas lebih 36 jam.
Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami serangan seksual dengan pelbagai kesan kecederaan 'brutal' di seluruh tubuh dan disyaki telah dirogol beramai-ramai.
Ribuan orang awam mula membuat demonstrasi bagi menunjukkan solidariti dan menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan segera atas kejadian apa yang berlaku.
Kemarahan kepada kegagalan undang-undang bagi menghalang gelombang keganasan yang semakin meningkat terhadap wanita mencetuskan bantahan ramai. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments