PENYAMPAI Pagi Di Sinar, Angah telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada mengendalikan segmen pagi di stesen radio Sinar.
Meskipun keputusan itu dibuat dengan berat hati, Angah atau nama sebenarnya Iskandarsah Hashim, 46, terpaksa melepaskan kerjayanya sebagai penyampai radio atas faktor kesihatan yang disahkan oleh doktor selepas menjalani beberapa rawatan.
Menurut Pengurus Jenama Sinar, Raja Nadia, keputusan tersebut wajar dihormati dan ketiadaannya akan terus dirasai oleh semua krew penerbitan.
“Telatah dan keceriaan Angah sentiasa menghidupkan segmen pagi di Sinar bersama dengan rakan setugas lain iaitu Jep Sepahtu dan Rahim.
"Kami doakan agar Angah terus sihat dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya selepas ini,” ujarnya.
Meskipun memiliki kontrak dengan Sinar, Angah tidak diberhentikan seperti dakwaan sesetengah pihak. Malah penyampai yang juga pelawak itu juga tidak dikenakan sebarang penalti kerana dia mengundur diri atas sebab munasabah.
Segmen Pagi di Sinar kendalian Angah, Jep Sepahtu dan Rahim adalah salah satu program radio paling popular dan dinantikan pendengar setiap hari. Slot tersebut dipenuhi jenaka, cerita-cerita menarik, perbincangan topik semasa, dan pelbagai permainan interaktif yang melibatkan pendengar. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments