PENYANYI rap popular, Altimet tampil berkolaborasi dengan Zizi Kirana, SAIXSE, dan Fahimi menerusi sebuah single penuh inspirasi berjudul Anak Malaysia.
Lagu yang cukup istimewa itu dijangka akan memberikan semangat dan sokongan kepada kontinjen Malaysia yang kini sedang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.
Tidak hanya itu, mesej yang disampaikan menerusi bait-bait lirik dalam lagu tersebut juga diharapkan dapat membakar serta menyemarakkan semangat 'Jiwa Merdeka' sempena Hari Kebangsaan yang bakal diraikan pada bulan ini.
Anak Malaysia adalah karya yang terhasil daripada kolaborasi hebat oleh Iqie Hugh, Mage, Fahimi, SAIXSE dan Mambang yang menulis serta membuat gubahan pada muzik.
Dalam ada itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menggubah lirik nukilan Altimet juga adalah satu inovasi menarik dengan menggabungkan teknologi dan seni dalam produksi muzik moden.
Malah hasil campuran genre dan gaya yang menarik menjadikan lagu itu benar-benar mencerminkan semangat perpaduan dan tekad, serta mempamerkan jiwa semangat kebanggaan rakyat Malaysia.
Menurut Altimet, lagu Anak Malaysia lebih daripada sekadar nyanyian dan ia adalah panggilan semangat untuk atlet negara serta seluruh rakyat Malaysia.
"Tidak kira di mana kita berada dan apa jua yang dilakukan, kita akan sentiasa berbangga menjadi 'Anak Malaysia'," tegasnya.
Sementara itu, penyanyi Zizi Kirana berharap agar single tersebut dapat dihayati dengan sebaiknya dan menjadi inspirasi buat semua.
"Kami berharap lagu ini akan menjadi sumber kekuatan untuk atlet negara ketika mereka bertanding di Olimpik Paris, dan inspirasi untuk kita semua yang menyokong dari tanah air," katanya.
Lagu yang menjadi simbol kebanggaan dan perpaduan negara itu dilancarkan di semua platform penstriman digital utama pada 26 Julai lalu. Video muzik Anak Malaysia yang diarahkan oleh Fareez Nasir kini boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments