Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Amir Jahari, sang penghibur jalanan kini ‘Kembali’



MAHU terus berkongsi karya bermakna dengan penggemar muzik tanah air, penyanyi komposer lagu dan penulis lirik, Amir Jahari, kini menampilkan album terbaharunya berjudul Kembali.

Hasil perjalanan Amir atau nama penuhnya Mohamad Amirullah Jahari selama 13 tahun dalam industri seni muzik tanah air akan menyaksikan album istimewa itu meneroka pelbagai genre daripada sentuhan pop-rock-folk dengan pengaruh Nusantara, yang turut mengangkat tema kemanusiaan serta kerohanian.

Album Kembali memuatkan 15 lagu iaitu 12 lagu baharu serta tiga lagu rakaman semula yang terdiri daripada Hasrat 2024 (Versi AJL38), Kenangan, Belasungkawa, Aku Rindu, Ingin Pulang, S.K.B, Yang Satu, Percayalah Padaku, Dongak, Baginda, Cin-Ta, Terima Kasih, Aku Jalan Dulu, Hasrat 2023 (Versi Original) dan Tanpamu Re-Imagine (feat. Nana Sheme).

Tiga lagu rakaman semula iaitu Hasrat yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-27 tampil dengan susunan yang diolah khas untuk malam bersejarah itu. Sementara Sampai Ke Bulan  adalah lagu yang ditulis oleh Amir Jahari sepenuhnya untuk album 2013 Faizul Sany, serta single pertamanya, manakala Tanpamu pula diberi nafas baharu bersama penyanyi Nana Sheme.


Sekitar majlis pelancaran album Kembali. | FOTO: Sekalo Music, Sony Music Entertainment

Bintang kelahiran Sarawak itu sebelum ini pernah tampil dengan album Penghibur Jalanan pada 2013 serta Siang Dan Malam (2018).

Permulaan baharu

Menurut Amir, album tersebut juga mendapat sentuhan magis beberapa produser serta pemuzik hebat tanah air termasuk AG Coco.

“Kembali akan menjadi satu titik permulaan yang baharu untuk saya dan pasukan melangkah lebih ke hadapan dalam industri muzik.

“Ia merupakan album yang telah dipendam lama tentang hidup untuk memberi dan kembali kepada asal usul,” katanya.

Terdahulu single berjudul Kenangan telah pun dilancarkan pada 31 Mei lalu di semua platform penstriman, manakala muzik video rasmi pula akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Album Kembali merupakan kerjasama antara Sekalo Music dan Sony Music Entertainment akan kini boleh didapati di semua platform penstriman bermula 16 Ogos lalu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments