Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Terokai keunikan dan keindahan semulajadi Isparta, Turkiye


DIKENALI sebagai taman bunga Türkiye, Isparta muncul sebagai destinasi eko pelancongan popular sejak kebelakangan ini dengan kehadiran ramai pengunjung ke taman bunga mawar yang mekar indah dan ladang lavender yang serba keunguan.

Haruman bunga-bungaan yang semerbak dan keajaiban alam yang mengagumkan ini menjadikan Isparta sebagai lokasi yang harus dikunjungi. Begitu juga dengan pelbagai aktiviti sukan, sajian makanan dan taman-taman yang begitu mempesona di wilayah itu.

Tidak ketinggalan, di sempadan Isparta pula terletak sebahagian daripada Daerah Tasik yang terkenal di Türkiye, yang mana ia tersenarai antara '50 Tempat Terbaik untuk Dikunjungi pada 2023'.

Taman Lavender, Kampung Kuyucak 

Hamparan Mawar dan Lavender

Pusat bunga mawar di Türkiye, Isparta, mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 65 peritus (%) daripada minyak bunga mawar dunia. Produk enak yang boleh dimakan ini seperti kudapan rose delight dan jem mawar, juga diperoleh daripada bunga mawar dari kawasan tersebut dan diproses di kilang moden.

Pelbagai produk kosmetik turut dihasilkan misalnya air mawar, minyak mawar serta minyak wangi dan krim mawar. Penuaian bunga mawar setiap tahun yang berlangsung pada akhir bulan Mei dan Jun, sememangnya dinantikan oleh penduduk setempat mahupun pengunjung.

Selain daripada hasil tuaian mawar yang begitu banyak, Isparta kini menyerlah dengan hasil pengeluaran lavender. Hari ini, taman lavender di perkampungan Kuyucak di daerah Keçiborlu di Isparta, menghasilkan 90% daripada pengeluaran lavender Türkiye.

Sama ada diproses basah atau kering selepas tuaian, lavender kemudian dijadikan krim, sabun, minyak, cologne dan produk lain. Selepas musim tuaian mawar, musim tuaian lavender pula bermula pada akhir Julai sehingga pertengahan Ogos.

Tasik dan pulau Isparta Egirdir 

Taman Negara Kovada

Bintang Bergemerlapan di Wilayah Tasik (Lakes Region)

Pesona Isparta bukan sekadar taman lavender dan mawar yang begitu banyak di wilayah berkenaan, ia juga meliputi Wilayah Tasik iaitu kawasan di Lembangan Mediterranean yang memiliki beberapa tasik. Sewaktu kunjungan ke Isparta, anda boleh melawat Eğirdir iaitu tasik terbesar di rantau itu dan Kovada yang terletak di taman negara.

Di daerah Eğirdir, bandar CittaSlow yang terletak di tepi Tasik Eğirdir penuh keajaiban alam semula jadi dan ternyata begitu indah dikelilingi kebun epal yang terkenal di daerah itu. Pengunjung boleh berjalan atau berbasikal di sekeliling tasik, mengembara dengan bot dan nikmati ikan segar di tempat makan yang berhadapan dengan tasik.

Terdapat dua pulau di Tasik Eğirdir iaitu Pulau Can dan Pulau Yesil. Pulau Can agak lengang sering dijadikan tempat perkhemahan dan berpiknik. Ia menempatkan perkampungan dihiasi rumah kayu dan jalanan sempit. Sementara Pulau Yeşil pula terkenal dengan Gereja Aya Stefanos yang dianggap sebagai kawasan Kristian yang popular.

Selain daripada Tasik Eğirdir, daerah tersebut juga menempatkan Istana Eğirdir yang berasal dari era Rom Timur dan  Masjid Hızırbey yang berusia kira-kira 800 tahun.

Kovada menawarkan pemandangan indah dengan flora dan faunanya yang serba unik, serta taman negara di sekeliling tasik merupakan destinasi yang digemari untuk fotografi alam semula jadi, pemerhatian hidupan liar, peminat hiking, serta penggemar aktiviti perkhemahan.

Isparta Adada Ancient City

Kota purba Adada 


Pengembaraan Trekking bersulamkan Sejarah dan Alam Semula Jadi

Wilayah Tasik mengetengahkan beberapa kota purba dan laluan hiking yang menjadi pilihan menarik  untuk mengunjungi kawasan ini.

Laluan denai Saint Paul dan Pisidia merentasi tapak arkeologi di wilayah Isparta, dengan Denai Saint Paul, salah satu daripada laluan hiking terpanjang di Türkiye, mengunjur dari Perge di Antalya dan melalui Yazılı Canyon di kampung Çandır di Isparta.

Ngarai berkenaan yang juga gudang simpanan oksigen, ternyata penting dari segi sejarah lantaran kuil dan inskripsi pada batuannya. 

Aktiviti mendaki batu-batuan di lembah ini memang terkenal, begitu juga dengan pengalaman seperti berakit di Sungai Göksu. Denai Saint Paul juga melalui kota purba Adada dan daerah Eğirdir dan Yalvaç, serta berakhir di kota purba Pisidia Antiocheia.

Selepas mengunjungi kawasan suci seperti Kuil Trajan dan Emperors serta kuil Zeus Megistos-Serapis di Adada, anda boleh menyaksikan struktur mengagumkan seperti Kuil Augustus, Mandian Rom dan Air Pancut Monumental di Pisidia Antiocheia yang terletak berhampiran dengan bandar Yalvaç, sebuah lagi bandar dalam rangkaian CittaSlow.

Hasil penemuan kota purba tersebut dipamerkan di Muzium Yalvaç. Apabila berada di Yalvaç juga, anda boleh merasa masakan tempatan tradisional seperti Yalvaç hamursuzu yang diperbuat daripada mentega, tahini dan kentang lenyek, serta Yalvaç güllacı yang disediakan dengan sejenis dadih.

Sementara itu, Pisidia, satu lagi laluan mendaki yang menarik di wilayah tersebut menawarkan peluang untuk berkunjung ke Adada dan Antiocheia purba di Isparta serta bandar di sekitarnya.

Beberapa kawasan yang paling menarik perhatian di laluan ini termasuklah Kota Purba Sagalassos. Di daerah Ağlasun di Burdur, Sagalassos menempatkan Air Pancut Antonine yang berusia 1,800 tahun.

Köprülü Canyon di Antalya  juga harus dikunjungi, begitu juga Selge yang terletak di sempadan Taman Negara  dan Termessos, salah satu daripada kota purba yang paling terpelihara di Türkiye. - 7KLIK 


ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Türkiye Tourism]

Post a Comment

0 Comments