Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tampilkan persembahan unik dan memukau, Kesuma juara Festival Tari Peringkat Zon Tengah


TAMPIL dengan persembahan memukau dan penuh energi, kumpulan tari Kesuma diangkat sebagai juara Festival Tari Peringkat Zon Tengah yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya pada malam Ahad.

Cemerlang dalam persembahan berjudul Rampai Tari Kesuma Jiwa untuk kategori Rampaian Tradisional dan Sada Bulan Emperaga bagi kategori Tarian Kreatif Malaysia, Kesuma atau Kumpulan Kesenian Universiti Malaya ternyata berjaya memikat seisi dewan yang seperti terpaku dengan gerak tari diatur.

Persembahan Sada Bulan Emperaga ditampilkan dengan begitu unik di mana ia menyaksikan sebuah karya yang diinspirasikan daripada tradisi budaya Beduruk (bergotong-royong) masyarakat Iban dalam menuai padi huma yang biasanya diadakan pada bulan Emperaga dalam kalendar Iban (Februari).

Penggunaan props dan kostum menarik juga tentunya turut melengkapi keindahan gerak tari yang mengekplorasikan pergerakan Ajat Iban dengan pergerakan kerja-kerja 'ngetau' atau 'nungku' yang sangat memikat.   

Selaku juara, mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 beserta hadiah iringan, sekali gus melayakkan kumpulan itu mewakili Zon Tengah ke Festival Tari Malaysia 2025.

Sementara itu, kumpulan Nyala Dance Theate yang memberikan saingan sengit menerusi persembahan Kasih Bertaut Kembali (Rampaian Tradisional) dan Kepang-Ku (Tarian Kreatif Malaysia) bergelar naib juara.

Nyala Dance Theate yang merupakan antara kumpulan kegemaran dan paling ramai penyokong itu menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,000 beserta hadiah iringan.

Tempat ketiga pula menjadi milik kumpulan Dansa Fusion Kuala Lumpur menerusi persembahan Rampaian Kasih Puspita (Rampaian Tradisional) dan Tarian Kreatif Buyut (Tarian Kreatif Malaysia), menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Diikuti tempat keempat dimenangi kumpulan Choreoarts Dance Group dengan hadiah saguhati berupa wang tunai RM500, manakala Aadymaatra UKM pula menerima Anugerah Khas juri dan membawa pulang RM500.

Kumpulan lain yang turut bertanding ialah Lantera Seni, Badansa Dance Troupe, Aikira Tari dan Legasi Seni.

Pendedahan

Festival Tari Peringkat Zon Tengah dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JKKN Selangor dengan kolaborasi julung kali bersama Universiti Malaya dan Persatuan Mekar Budaya.

Acara tersebut berlangsung selama dua hari iaitu pada 27 Julai untuk kategori Rampaian Tradisional dan 28 Julai bagi kategori Tarian Kreatif Malaysia serta pengumuman pemenang. 


Dianjurkan secara dwi tahunan, Festival Tari Peringkat Zon Tengah memberi ruang dan peluang kepada kumpulan tarian mempersembahkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang tarian tradisional dan kreatif Malaysia serta melahirkan koreografer pelatih.

Dalam masa sama, ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada penggiat seni tari dan masyarakat amnya mengenali seni tari di tanah air, sekali gus membantu dalam pemeliharaan dan pemuliharaan seni tari tradisional serta kreatif Malaysia.

Festival Tari Peringkat Zon Tengah turut diserikan dengan persembahan tarian daripada kumpulan tari JKKN Selangor, JKKN WPKL dan nyanyian oleh Noor Shazwani Zin. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments