Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Selepas Indonesia, Masdo beraksi di Mongolia dan Korea Selatan pula


MESKI baru sahaja selesai menjayakan konsert siri jelajah Perih Jerih Indonesia Promo Tour di Bandung, Jakarta, Yogyakarta dan Bali, Indonesia, kugiran Masdo tidak sempat mengambil rehat panjang apabila perlu menemui peminat mereka di Mongolia dan Korea selatan pula.

Kumpulan yang dianggotai oleh Ali Sariah selaku vokalis, Putu Ceri (bass) dan juga Asmawi (gitaris) itu terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 3 hingga 5 Julai lalu bagi menjayakan acara Playtime Festival.

Sejurus itu mereka terus ke Busan, Korea Selatan untuk membuat persembahan di Round Festival (ASEAN Korea Music Festival)pada 6 hingga 10 Julai.

Berkongsi pengalaman beraksi di Indonesia, Masdo meluahkan rasa syukur kerana persembahan tersebut memberi peluang kepada mereka untuk mendekati peminat di negara itu.

“Kami sangat teruja dengan Masdo Perih Jerih Indonesia Promo Tour pada kali ini kerana selain promo di radio, kami juga dapat membuat persembahan secara ‘intimasi’ bersama peminat di Indonesia, serta turut berpeluang ke kota-kota besar seperti Bandung, Jakarta, Jogja dan Bali.

“Di antara momen yang terkesan buat kami adalah sewaktu membuat persembahan di kafe JRNY Coffee & Records, Jogja kerana walaupun pertama kali ke situ, energi ‘vibe’ peminat yang hadir pada malam itu memberi kesan positif dan mendalam, kerana ada yang hadir sejauh tujuh jam dari Kota Jogja.

“Kami yakin dengan pendekatan sebegini, tidak mustahil untuk Masdo mendapat tempat lebih besar di pasaran Indonesia, dan jutaan terima kasih buat Warner Music Malaysia dan Indonesia, Enrich serta Klook kerana membantu dan memudahkan perjalanan kami di sana,” ujar Ali.

Pengalaman Baharu

Tambahnya lagi, walaupun sedikit kepenatan, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Masdo untuk membuat persediaan bagi persembahan di Mongolia dan Korea Selatan.

"Kami lebih fokus untuk memberi impak dalam persembahan dan mencari kelainan dengan membuat rujukan dari persembahan artis-artis terkenal antarabangsa, melihat bagaimana mereka mengelola pentas yang besar,” katanya.

Antara aksi Masdo di Festival Korea Selatan.

Sementara itu peluang mengadakan persembahan di Ulaanbaatar, Mongolia dan Busan, Korea Selatan juga adalah sesuatu yang cukup istimewa buat Masdo yang ingin mengembangkan muzik mereka lebih jauh lagi.

“Sewaktu berada di Playtime Festival (Mongolia), walaupun berlainan bahasa, penonton tetap ‘enjoy’ dan mereka sempat melaungkan ‘ehhh, ahhh’ beramai-ramai.

"Peluang membuat persembahan di Round Festival (Korea Selatan) juga merupakan sebuah penghormatan buat kami kerana sebaris dengan nama-nama besar di arena antarabangsa.

"Untuk Round Festival, kami mendapat jemputan eksklusif daripada Korean Broadcasting System (KBS) dan Masdo mewakili Malaysia di antara 11 negara ASEAN yang turut dijemputi,” ujar Putu Ceri.

Dalam pada itu, Masdo bersyukur apabila single Perih Jerih mendapat sambutan yang begitu baik walaupun kedengaran berbeza dengan single lain yang pernah mereka hasilkan sebelum ini.

"Rata-rata pendengar suka dengan kematangan dalam setiap karya Masdo dan kami sangat hargainya," katanya.

Sepulangnya Masdo ke tanah air, mereka sudah pun merencanakan beberapa projek untuk tahun 2025. Antaranya sebuah album penuh sempena ulang tahun penumbuhan mereka ke-10, dan akan disusuli dengan siri jelajah di serata Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Kami berharap dengan penyertaan festival-festival antarabangsa ini dapat membuka jalan dalam membuktikan bahawa muzik Malaysia juga setara dengan negara lain.

"Seterusnya menimba banyak lagi ilmu kerana misi kami adalah mencari kelebihan dan cuba menutupi kekurangan dalam setiap perjalanan bermuzik Masdo,” kata Asmawi. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:
[KREDIT: Warner Music Malaysia - Terima Kasih Megan Chee]



VIDEO PILIHAN

Post a Comment

0 Comments