SETIAP daripada kita pastinya mempunyai masa-masa sukar dalam kehidupan yang akhirnya menjadi pendorong untuk bangkit menjadi lebih baik pada masa akan datang.
Begitu juga dengan seorang anak FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang kini bergelar seniman, Jalil Hamid, yang pernah merasai perih jerih hidup hidup serba kekurangan di zaman mudanya.
Ketika hadir pada acara Malam Baca Puisi PENA yang mengangkat tema sambutan Hari Peneroka FELDA, berlangsung di Rumah PENA baru-baru ini, pemilik nama sebenar Abdul Jalil Abdul Hamid itu sempat berkongsi secebis kenangan ketika dia dan keluarga berjuang hidup di tanah FELDA Cahaya Baru, Masai Johor.
"Saya berpindah ke FELDA Cahaya Baru, Masai sekitar tahun 1962, bersama arwah ayah saya, Haji Abdul Hamid Osman dengan 1208 nombornya.
"Beliau adalah peneroka FELDA getah. Waktu itu getah ditanam sendiri. Getah kami dimakan rusa, habis sampai tinggal setengah ekar saja lagi. Terpaksa tanam semula, datang dia bedal lagi.
"Akhirnya kami terpaksa tukar lot beberapa kali. Orang lain semua dah berhasil, tapi kami belum mendapat sebarang hasil lagi. Waktu itu sedih," katanya membuka cerita.
Menurut pelakon dan pelawak yang kini meniti usia 67 tahun itu lagi, kenangan yang dilalui bersama keluarganya di tanah FELDA ada sesuatu yang tidak akan dilupakannya. Perjuangan dan keperitan yang banyak mengajar mereka tentang kehidupan sebenar.
"Saya bukan mengenang apa, tetapi sebab saya terlibat sama untuk meneres kebun getah, sama-sama merasa disengat tebuan. Waktu itu memang sangat unforgettable sebagai anak peneroka, anak Felda.
"Kadang-kadang saya nak semadikan dalam sebuah puisi, tapi saya tak pandai mencipta puisi. Hanya mencipta cerita bolehlah," kata bapa kepada enam anak itu sambal ketawa kecil.
Gaji RM2.90
Tambah Jalil, pernah suatu ketika, arwah bapanya mengeluh kerana sudah tidak tertahan rasa hampa dan kecewa dengan gaji yang terlalu rendah diperoleh, sedangkan kederat yang diperah tidak sepadan.
"Hari-hari menatap kerja meneres di pangkal getah, hari-hari mengais rumput, hari-hari dia lalui dengan rasa sedih dan hampa.
Kenangan pada era 1960-an itu sangat membekas dalam jiwa anak ketiga daripada lima beradik itu sehingga ke hari ini. Cerita pahit manis yang membesarkan dirinya dengan pengalaman yang tidak ternilai.
"Saya hanya terkenang waktu yang payah itu, sulit benar rasanya. Nak beli basikal pun tak mampu, pergi ke kebun hanya berjalan kaki atau menumpang trektor Pak Atan iaitu jentera yang disediakan FELDA.
"Roll call pada pukul 6.30 pagi, kadang-kadang tak sempat solat Subuh pun lagi dah kena pergi. Kita dibahagikan tugas, sama ada tugas hari ini meracun atau urut lalang pakai minyak sehelai demi sehelai dan sebagainya. Hanya dengan pam di bahu untuk meracun, saya ingat lagi," katanya dalam nada sebak.
Mengenang semua itu terutamanya perjuangan generasi FELDA terdahulu, bintang filem Bisik Pada Langit itu mengakui ada rasa kecewa menyelinap dalam hatinya tatkala mendengar pelbagai perkhabaran kurang menyenangkan yang berlaku pada agensi itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Entahlah bayangan itu hanya kadang-kadang memberikan kemanisan dan kadang-kadang memberikan kepahitan yang tersangat luka.
"Terutamanya bila terdengar berita bahawa FELDA menjunam nilai sahamnya dan mendengar ada perkara yang tak elok berlaku di puncak pentadbiran. Ada kesedihan, ada kehampaan.
"Terima kasih kerana memberi peluang saya mengambil waktu ini untuk melepaskan sedikit rasa untuk anak FELDA," akhirinya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments